Assalamualaikum dan salam Segamat Selamat. Apabila bercerita mengenai juadah dan makanan yang menjadi identiti di daerah ini, secara tidak langsung pasti akan terbayangkan keenakan serta kelazatan ikan baung dan udang galahnya sehinggakan dua hidangan tersebut yang mengangkat nama daerah ‘Segar Amat’ ini.

Jika buah-buahan pula, aroma durian pula terus menusuk ke sanubari dan durian Segamat juga merupakan durian yang terbaik dan berkualiti di negeri Johor. Kehebatan buah tersebut juga menyebabkan pihak pentadbiran daerah ini membina dua monumen durian besar di Dataran Segamat dan di persimpangan Lebuhraya Segamat-Kuantan.

Selain itu, buah mata kucing juga terkenal di daerah ini khususnya di Labis suatu ketika dahulu dan kini pokok mata kucing ini seolah-olah semakin berkurangan. Mujur, dengan usaha yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian Segamat, ada usaha untuk menyemai benih baharu pokok mata kucing yang lebih berkualiti serta pokok-pokok buahan lain seperti limau barli seperti yang sedang dilakukan di Pusat Pertanian Jementah.

Berbalik kepada hidangan baung dan udang galah, kedua-dua hidangan tersebut seolah-olah ‘berhantu’ dan meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada pelanggan sama ada penduduk setempat atau mereka yang datang daripada luar daerah dan keenakannya tidak dapat disangkal lagi. Bagi pengunjung daripada luar, tidak lengkap rasanya jika pergi begitu sahaja tanpa menikmati hidangan ‘baung Segamat’.

Disebabkan kepopularitian kedua-dua hidangan itu, beberapa buah restoran dan kedai makan di daerah ini menghidangkan menu masakan berasaskan ikan baung dan udang galah dan ada pula yang menjadikannya sebagai menu utama seperti yang dilakukan oleh Restoran RZ yang terletak di Bandar Utama, Segamat (bertentangan Nagoya & sebaris pasaraya Sakan).

Bertemu dengan pemiliknya yang merupakan salah seorang usahawan bumiputera yang berjaya di daerah ini , Razali Mohamad, 52, berkata, dia yang telah berniaga selama 32 tahun di daerah ini menjadikan ikan baung dan udang galah serta beberapa lagi hidangan lain sebagai tarikan pengunjung untuk singgah dan makan di kedainya.

“Paling terkenal di sini dan menjadi kegemaran pelanggan ialah ikan baung yang dimasak dengan lemak cili api. Selain itu, terdapat juga ikan baung yang dikukus dan pelanggan boleh memilih sendiri hidangan mengikut citarasa mereka.

“Kami mendapat bekalan kira-kira 50 kilogram ikan baung segar setiap hari yang diambil di Pahang dan di sini (RZ), kami akan memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan yang baharu dan segar,” katanya ketika memulakan bicara.

Menurutnya, harga seketul ikan baung yang dijual di kedainya juga di antara RM6 sehingga RM13 dan berbeza-beza mengikut saiz dan berat. Manakala, bagi udang galah pula dijual di antara RM18 hingga RM35.

Razali (kanan) bersama isterinya menunjukkan hidangan yang terdapat di kedainya
Razali (kanan) bersama isterinya menunjukkan hidangan yang terdapat di kedainya

Katanya, daging ikan baung yang halus dan lembut sesuai di makan kerana tidak mempunyai duri yang banyak selain isinya yang pejal dan tidak mudah pecah menyebabkan ianya digemari untuk di mask asam pedas, masak lemak cili api, masak gulai kari dan juga boleh di salai untuk mendapatkan citarasa istimewa.

“Ikan baung perlu dibasuh dengan air limau atau air asam jawa untuk menghilangkan lendir dan mengurangkan bau hanyir dan bau tanah. Kelazatan ikan ini akan terserlah apabila dimakan dengan nasi putih panas.

“Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati pilihan makanan lain seperti rojak, asam pedas ikan sembilang laut, perut masak lemak, ikan patin tempoyak dan pelbagai lagi hidangan yang pastinya membuka selera pelanggan,” katanya.

Menurutnya, selain orang kenamaan, sambutan yang diterimanya setakat ini amat menggalakkan kerana ada di antara pelanggannya yang sanggup datang daripada jauh seperti Kelantan, Pahang, Melaka dan Terengganu semata-mata untuk menikmati hidangan ikan baung ini.

Katanya, dia juga bercadang untuk membuka sebuah cawangan kedai makan sama ada di Kuala Lumpur dan Melaka pada masa terdekat ini kerana terdapat banyaknya permintaan dari kawasan tersebut.

Tambahnya, bermula 3 November lalu, kedainya telah beroperasi sehingga ke malam berbanding waktu operasi biasa sebelum ini yang bermula pukul 7 pagi hingga ke 5 petang.

Nah…Ini merupakan salah satu kedai di daerah ini yang menghidangkan ikan baung dan udang galah. Bagaimanapun, pelanggan juga mempunyai banyak lagi pilihan kedai makan seperti di Restoran Nasir Corner yang terletak berhampiran Restoran RZ ini yang menghidangkan juadah yang serupa.

Jika diberi kesempatan dan masa untuk menulis, dalam masa terdekat ini saya akan membuat satu lagi ‘posting’ berkenaan pengusaha kuih bepang kacang tradisional di Felda Medoi yang digemari oleh DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

P/S: Jika pembaca mempunyai cadangan atau tempat makan yang menarik dan pelik di daerah Segamat ini, jangan segan silu untuk meninggalkan komen di bawah. Jika dilihat sesuai, saya sendiri akan datang untuk membuat review dan seterusnya dimasukkan di sini.

Adiosh… Wassalam..

(Visited 6,103 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!