LABIS – Keadaan jambatan Sungai Labis berhampiran Felda Chemplak Barat dan Felcra Bukit Kepong di Jalan Labis-Muar, di sini yang sempit serta gelap pada waktu malam boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya tersebut.

Seorang penduduk Felda Chemplak Barat, Rosli Salleh, 47 , berkata, selain faktor jambatan yang sempit dan gelap, kedudukannya yang berhampiran selekoh  panjang dilaluan dari Labis ke Muar turut menjadi salah satu penyumbang kepada kemalangan.

 “Kawasan tersebut memang sering berlaku kemalangan terutama pada waktu malam dan kami penduduk di Felda Chemplak Barat serta Felcra Bukit Kepong berharap pihak berwajib dapat melebarkan jambatan tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Apa yang menghairankan kami, beberapa tahun lalu kerja-kerja melebarkan jalan telah pun dilakukan, namun sehingga kini tiada sebarang usaha untuk melebarkan jambatan tersebut,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Rosli (kanan) dan Mohd Shah (kiri) menunjukkan besi penghadang jambatan yang rosak dilanggar oleh kenderaan.
Rosli (kanan) dan Mohd Shah (kiri) menunjukkan besi penghadang jambatan yang rosak dilanggar oleh kenderaan.

Menurutnya, lebih merunsingkan apabila keadaan penghadang jambatan yang rosak akibat dilanggar sebuah lori pasir beberapa bulan lalu masih belum dibaiki dan boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Sementara itu, rakannya,Mohd Shah Rashid, 41, turut mengakui keadaan jambatan tersebut agak bahaya kepada kenderaan berat yang berselisih di atas jambatan tersebut kerana terlalu sempit.

Katanya, ketika air sungai tersebut naik selepas hujan, terdapat pemancing yang duduk di tepi jambatan dalam keadaan gelap untuk memancing yang boleh mengundang bahaya pemandu serta pemancing itu sendiri.

“Memang kawasan ini sering berlaku kemalangan sehingga ada kenderaan yang terbabas ke bahu jalan namun sehingga kini tiada lagi kemalangan melibatkan kehilangan nyawa dan kita tidak mahu perkara itu berlaku nanti.

“Tambahan pula, jalan ini merupakan jalan utama dari Labis ke Muar dan setiap hari dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan dan saya meminta pihak bertanggungjawab supaya memasang papan tanda yang sesuai berhampiran jambatan ini,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori yang ingin dikenali sebagai Din berkata, dia akan melalui jambatan tersebut setiap hari untuk ke Kilang Kelapa Sawit Felcra Bukit Kepong, di sini, dan sering berdepan masalah setiap kali berselisih dengan kenderaan di atas jambatan tersebut.

“Saya sendiri pernah beberapa kali mengalami saat mencemaskan di kawasan tersebut ketika hujan lebat dan jalan raya licin kerana kedudukan jambatan yang terletak berhampiran selekoh menyebabkan kenderaan sukar dikawal jika tidak berhati-hati.

“Sekiranya berselisih dengan kenderaan besar seperti lori dan bas, masing-masing perlu berhati-hati dan saya harap pihak berkuasa memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi oleh pengguna jalan di sini,” katanya.

(Visited 1,030 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!