SEGAMAT – Seorang isteri di Kampung Lembah Bakti, di sini, hilang tempat bergantung dan terpaksa membesarkan dua anaknya sendirian selepas suaminya terlibat dalam kemalangan maut di Pekan Tenang Stesen, di sini, 11 September lalu.

Noraini Abdul Aziz, 39, berkata, selain kehilangan suaminya, Hamzah Selamat, 40, dia juga turut kehilangan ibu mertuanya, Mokminah Kasdini, 73, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengahari tersebut.

“Ketika itu, arwah suami, ibu mertua dan anak bongsu sedang dalam perjalanan menghantar saya semula ke tempat kerja di Pekan Tenang Stesen selepas melihat Kembara Mahkota Johor (KMJ) di Taman Tenang.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan sejurus kemalangan tersebut, saya pengsan seketika sebelum melihat suami dalam keadaan berdarah dan tidak sedarkan diri kerana tersepit di bahagian pemandu,” katanya.

Dia ditemui semasa menerima lawatan Ziarah Kasih Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong dan Haslinda Salleh, di Kampung Lembah Bakti, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, dia yang berada dalam keadaan separa sedar ketika itu berjaya dikeluarkan oleh orang ramai sebelum diberitahu anak bongsunya, Dhiya Az Zahirah,, 5, turut selamat dalam kemalangan tersebut.

Katanya, dia juga mendapat tahu suami dan ibu mertuanya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan sebelum dia dan anaknya dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk menerima rawatan.

“Saya sempat menatap buat kali terakhir wajah arwah suami di bilik mayat dan doktor tidak izinkan saya keluar untuk urusan pengebumian arwah suami dan ibu mertua kerana saya juga mendapat kecederaan.

“Tulang pipi di bawah mata kanan saya patah sehinggakan beberapa batang gigi terpaksa dicabut namun anak saya tidak mendapat sebarang kecederaan dan saya terpaksa ditahan di dalam wad selama sehari,” katanya.

Menurutnya, walaupun masih trauma akibat kejadian tersebut, dia redha dengan kehilangan tersebut selain menyifatkan arwah suaminya berubah menjadi seorang yang amat penyayang terhadap keluarganya sebelum kemalangan tersebut.

Katanya, dua hari sebelum kejadian tersebut juga, arwah suaminya sempat berjumpa dengan anak sulung mereka, Nor Athirah Zahiah, 15, yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Ibrahim Labis.

“Arwah suami memang rapat dengan ibunya dan dia sanggup mendukung ibunya setiap kali menaiki tangga sama ada di dalam atau di luar rumah dan setiap hari dia pasti akan menjenguk ibunya kerana rumah kami tidak terlalu jauh.

“Anak bongsu saya juga sudah tahu bapa dan neneknya sudah tiada dan selepas ini saya perlu kuat untuk anak-anak saya kerana mereka cuma ada saya sahaja,” katanya.

Pada 12 September lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang warga emas dan anaknya maut selepas kereta yang dinaiki mereka dilanggar sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 165 Johor Bahru-Seremban.

(Visited 470 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!