SEGAMAT – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menggesa lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) supaya merebut peluang memasuki UiTM melalui penganjuran Program Selangkah Ke UiTM: Mendekati Masyarakat.
Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, ini kerana UiTM menawarkan peluang kedua kepada sekurang-kurangnya 3,000 calon yang gagal kali pertama untuk memasuki universiti.
“Peluang kedua ini akan diberikan kepada pelajar tertentu di lokasi tertentu dan pada kali ini, daerah Segamat dipilih sebagai lokasi pertama program dan tumpuan akan diberikan kepada lepasan SPM dan STPM kaum bumiputera.
“Kadang-kadang, ada pelajar yang mempunyai akademik baik dan tidak seberapa gagal melanjutkan pelajaran kerana meritokrasi dan peluang seperti ini tidak seharusnya dipersiakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Program Selangkah Ke UiTM di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan 200,000 pelajar menjelang tahun 2020 dan sehingga kini, UiTM mempunyai lebih 500 program pengajian, 26 fakulti serta 35 kampus cawangan di seluruh negara.
“Saya percaya pelajar bumiputera mampu memberi saingan sama seperti kaum-kaum lain sekiranya diberi peluang dan UiTM juga menggalas amanah besar dalam memastikan kejayaan mereka.
“Di Segamat, sambutan yang diterima oleh kami sangat menggalakkan dan selepas ini kami akan bergerak ke beberapa lokasi yang ditetapkan,” katanya.
Comments