SEGAMAT – Majlis Daerah Segamat (MDS) yakin Air Terjun Jeram Tinggi di Ulu Jementah, di sini, berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat rekreasi dan daya tarikan pelancong ke daerah ini.

Yang Dipertuanya, Miswan Yunos berkata, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh MDS untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai salah satu destinasi pelancongan di daerah Segamat.

“Antara salah satu usaha adalah dengan mewujudkan Rakan Eko Pelancongan iaitu satu badan bebas yang dilantik oleh MDS bagi membantu MDS memelihara produk eko pelancongan yang terdapat di daerah ini.

“Selain itu, Rakan Eko Pelancongan ini akan menggerakkan usaha-usaha menjaga, memulihara dan melindungi produk-produk eko pelancongan untuk kebajikan semua pihak sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau orang awam,” katanya.

Beliau ditemui semasa Program Gerak Kerja Eko Pelancongan dan Program Gerak Mesra Zon Jementah di Air Terjun Jeram Tinggi, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, Rakan Eko Pelancongan yang ditubuhkan juga tidak dibenarkan mengutip atau mengenakan bayaran kepada orang awam yang menggunakan taman rekreasi atau sesuatu produk pelancongan.

“Ini kerana, wakaf, tandas, papan tanda, tong sampah dan kemudahan lain yang disediakan oleh pihak kerajaan di kawasan tarikan pelancongan adalah untuk kemudahan rakyat melakukan aktiviti rekreasi dan riadah secara percuma.

“Sekiranya mereka (Rakan Eko Pelancongan) memerlukan peruntukan kewangan untuk melakukan aktiviti, mereka perlu melalui MDS untuk mendapatkan sumbangan awam sama ada daripada individu, swasta dan korporat,” katanya.

Menurutnya, Rakan Eko Pelancongan boleh melaksanakan usaha-usaha sama ada melalui aktiviti atau kempen bagi menganjurkan aktviti-aktiviti rekreasi dan riadah bagi menyemarakkan lagi fungsi sesuatu produk pelancongan.

Katanya, selain itu, usaha ini juga akan membantu PBT dalam mengurus dan menyelenggara produk pelancongan melalui aktiviti seperti gotong-royong secara berkala sekaligus membantu dari aspek keselamatan dan kesejahteraan seperti pencerobohan dan vandalisme.

“Secara ringkasnya, Rakan Eko Pelancongan akan bertindak sebagai rakan dan ‘mata serta telinga’ kepada PBT dalam pengurusan produk-produk pelancongan supaya produk-produk tersebut sentiasa berada dalam keadaan terurus.

“Seperti Air Terjun Jeram Tinggi ini, kawasan ini juga mempunyai potensi besar terutamanya sebagai tarikan pelancong dalam dan luar negeri yang ingin merasai suasana hutan semula jadi selain merupakan pintu masuk ketiga untuk ke puncak Gunung Ledang,” katanya.

(Visited 508 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!