SEGAMAT – Seramai 15 mangsa banjir daripada empat keluarga di Kampung Awat, Batu Anam, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Balairaya Kampung Awat selepas hujan lebat dan paras air Sungai Awat melimpah, pagi semalam.
Salah seorang mangsa banjir, Norsyakila Kamarthay, 33, berkata, air mula melimpahi tebing sungai serta memasuki rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari sungai tersebut kira-kira pukul 7 pagi, semalam.
“Saya memang tidak menduga berlaku banjir pada hari ini (semalam) kerana sebelum ini kita dimaklumkan bakal menghadapi cuaca panas kesan fenomena El-Nino yang melanda negara ini selain kebiasaannya banjir berlaku setiap hujung tahun.
“Hujan yang turun sejak dua hari lalu serta kejadian banjir di Gemas, Negeri Sembilan juga sedikit sebanyak menyumbang kepada keadaan banjir di sini apabila air daripada sana (Gemas) turun ke kampung kami,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, dia yang hanya tinggal berdua bersama ibunya, Che Salbiah Hamzah, 60, juga sempat mengemas rumah dan menyimpan dokumen-dokumen penting ke dalam kereta untuk dibawa ke pusat pemindahan.
Sementara itu, Che Salbiah berkata, dia berharap banjir kali ini tidak seteruk kejadian pada tahun 2011 dimana paras air ketika itu mencecah bumbung dan semua barang tidak sempat diselamatkan.
“Mak cik mengambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan kerana bimbang air akan naik lebih dalam lagi memandangkan hujan masih turun ditambah pula mak cik hanya tinggal berdua selepas suami meninggal dunia beberpa tahun lalu.
“Memang kawasan ini merupakan kawasan rendah dan sering dinaiki air, tapi mak cik tidak sangka pula banjir kali ini berlaku pada bulan Februari namun mak cik sentiasa bersedia supaya kerugian harta benda dapat dikurangkan,” katanya.
Bagi Shahril Abdul Tahir,33, berkata, air yang naik secara perlahan pada kali ini membolehkan dia menyelamatkan mesin serta peralatan lain di bengkel besi miliknya yang terletak bersebelahan rumahnya.
“Sebenarnya, air mula naik di beberapa kawasan rendah sejak petang semalam (kelmarin) dan hujan yang turun sepanjang malam membuatkan paras air bertambah naik sehingga berlaku banjir pada pagi ini (semalam).
“Saya bertindak mengeluarkan mesin yang terdapat di bengkel saya lebih awal kerana sudah menjangkakan air akan naik selepas hujan turun secara berterusan sejak dua hari lalu dan keadaan air banjir juga masih terkawal,” katanya.
Comments