LABIS – Kira- kira 1,500 golongan wanita dan belia di Parlimen Labis menerima manfaat daripada penubuhan Pusat Keusahawanan oleh Yayasan Salam Malaysia (Salam) di Chaah sejak tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Salam Malaysia, Md Ghani Ibrahim berkata, pada tahun 2016 pihaknya telah mengadakan kerjasama dengan pihak swasta iaitu Philip Morris Malaysia sebuah Pusat Keusahawanan di Chaah.
“Pusat tersebut yang telah memberi peluang kepada 80 wanita menggunakan segala kemudahan yang disediakan untuk mempelajari pelbagai kemahiran seperti menjahit, sulaman dan solekan dalam satu-satu masa.
“Sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat mendorong kami untuk berusaha memberi peluang kepada lebih ramai penduduk dengan cara menambah bidang kemahiran yang disediakan,” karanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Majlis Perasmian Dan Penyampaian Sijil Bengkel Kemahiran Salam Sayang Seni dan Kreatif yang dirasmikan oeh Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong di Dewan MDL Chaah, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengarah Hal Ehwal Korporat Philip Mortis Malaysia, Ozan Ibrisim dan Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Labis, Haslinda Salleh.
Menurutnya, pada majlis tersebut, seramai 80 peserta yang menggunakan kemudahan tersebut untuk menjana pendapatan layak menerima sijil kemahiran dalam pelbagai bidang seperti masakan, bakeri, kraf tangan dan andaman.
Sementara itu Haslinda melahirkan rasa gembira kerana pusat tersebut mampu membantu golongan wanita meningkatkan pendapatan melalui aktiviti membuat pakaian, beg tangan dan langsir.
“Kejayaan program dan pusat ini sebenarnya turut didorong oleh kerjasama daripada pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Labis yang menyediakan tenaga pengajar dalam pelbagai bidang kemahiran termasuk masakan, jahitan dan andaman.
“Saya harap pusat ini mampu menarik minat lebih ramai golongan wanita dan suri rumab untuk datang belajar dan menggunakan segala kemudahan yang disediakan untuk mereka menjana pendapatan pada masa akan datang,” katanya.
Comments