SEGAMAT – Polis daerah ini akan sentiasa melipatgandakan usaha untuk membanteras kegiatan judi di daerah Segamat pada tahun ini sama ada melibatkan judi atas talian, judi ekor haram dan judi dalam bangunan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, sejak Oktober tahun lalu sehingga awal Januari tahun ini, pihaknya telah membuat 21 serbuan termasuk yang terbaharu semalam melibatkan judi atas talian.
“Sebanyak 155 tangkapan dan 189 komputer riba yang digunakan untuk aktiviti tersebut telah berjaya dirampas selain turut merampas wang tunai sebanyak RM4,296 yang digunakan sebagai wang taruhan.
“Serbuan juga telah dijalankan di beberapa premis perniagaan dan ada premis berkenaan sudah beberapa kali diserbu sebelum ini seperti di kawasan Buloh Kasap dan sekitar bandar Segamat,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini, semalam.
Menurutnya, ada diantara pengusaha premis judi atas talian ini yang memasang pelbagai pintu dan pagar semata-mata untuk mengelirukan pihak polis selain memasang kamera litar tertutup (CCTV).
Bagi judi ekor haram pula, dari Januari 2015 sehingga awal Januari tahun ini, sebanyak 113 serbuan telah dilakukan dan sebanyak RM16,376 wang tunai telah dirampas selain 74 kes telah dituduh di mahkamah.
“Bagi judi dalam bangunan untuk tempoh yang sama, sebanyak 10 serbuan telah dilakukan dengan 106 tangkapan dan melibatkan rampasan wang tunai sebanyak RM83,124 dan didakwa di bawak Akta Rumah Judi Terbuka.
“Saya meminta kepada pemberi maklumat yang mengetahu tentang kewujudan pusat-pusat judi di daerah ini supaya tampil membantu pihak polis bagi memastikan daerah ini bebas daripada wabak judi,” katanya.
Menurutnya, hasil risikan dan siasatan pihaknya juga, kesemua jenis judi ini akan muncul dengan aktif di sesetengah tempat pada sebulan sebelum dan sebulan selepas perayaan Tahun Baru Cina.
Katanya, ada pengusaha premis perjudian ini yang sanggup menyediakan kenderaan khas untuk mengambil dan menghantar pelanggannya bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan oleh polis.
Comments