LABIS – Beberapa petani yang mengusahakan tanaman sayuran di zon Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Felda Chemplak, di sini, mengalami kerugian akibat bencana banjir yang melanda daerah ini, baru-baru ini.

Salah seorang petani, Ahmad Radzi, 38, berkata, dia yang mengusahakan tanaman sayuran di zon TKPM tersebut menganggarkan jumlah kerugian melebihi RM100,000 apabila pelbagai jenis sayuran yang ditanam di kawasan seluas 40 ekar itu musnah ditenggelami air.

“Saya juga memerlukan modal yang besar iaitu kira-kira RM30,000 untuk memulihkan semula kerosakan di kebun ini melibatkan batas sayur, pagar, mesin, kos benih dan upah pekerja.

“Ini merupakan kali kedua kebun sayur saya ditengelami banjir dan kejadian pertama adalah pada tahun 2011, namun paras air ketika itu tidak sedalam pada tahun ini walaupun banjir pada 2011 dikatakan lebih besar,” katanya.

Menurutnya, beberapa jenis sayuran di kebunnya seperti kacang panjang yang sepatutnya boleh dituai dalam masa terdekat ini juga rosak dan busuk selain memerlukan masa untuk memulihkan semula kebunnya itu.

Sementara itu, rakannya, Jemaan Sulaiman, 53, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM70,000 selepas tanaman ubi kayu seluas 20 ekar yang sepatutnya sudah boleh dituai dan dijual musnah ditengelami air.

Jemaan (kiri) menunjukkan isi ubi kayu yang busuk selepas ditengelami banjir di kebunnya di kawasan zon TKPM Felda Chemplak.

“Saya reda dengan dugaan ini dan sebagai petani saya tidak patah semangat untuk mengusahkan kembali tanaman yang musnah ditengelami air ini kerana ini adalah salah satu sumber pendapatan saya.

“Selepas ini saya mungkin akan mengusahakan tanaman lain dan modal untuk membersih serta memulihkan kebun ini dianggarkan melebihi RM30,000 dan beban yang saya tanggung mungkin berkurangan sekiranya terdapat sebarang bantuan daripada Jabatan Pertanian,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Pejabat Pertanian Segamat, Abdul Halim Abdul Wahab berkata, pihaknya juga sedang menjalankan bancian pasca banjir bagi memastikan jumlah kerugian yang dialami oleh petani di daerah ini sebelum dapat menentukan sebarang bentuk bantuan yang boleh dihulurkan.

Menurutnya, terdapat lebih 500 petani di daerah ini dan pihaknya menjangka lebih dua pertiga daripada mereka terjejas akibat bencana banjir yang melanda daerah ini, baru-baru ini.

“Setakat ini pihak kami belum dapat melawat semua kawasan terjejas disebabkan terdapat beberapa kawasan pertanian yang masih belum kering dan masih digenangi air.

“Kami menjangkakan sekurang-kurangnya seminggu sebelum semua kawasan dapat dilawati dan selepas itu barulah kami dapat jumlah sebenar kerugian yang dialami mereka sebelum membuat permohonan peruntukan,” katanya.

Menurutnya, bentuk dan jumlah bantuan yang bakal disalurkan kepada petani terjejas juga bergantung kepada tahap kemusnahan tanaman mereka serta jumlah peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan.

(Visited 995 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!