SEGAMAT 23 Mei- Sepasang guru yang menghidap barah payu dara tahap empat dan angin ahmar bersyukur penderitaan mereka mendapat perhatian Yayasan Majlis Daerah Labis dan Yayasan Majlis Daerah Segamat yang menghulurkan sumbangan RM 3,000 bagi meringankan beban kedua-dua mereka.
Lebih manis, sumbangan yang mereka sifatkan sebagai hadiah sempena hari guru itu disampaikan oleh Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang berkenan berangkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Segamat di sini semalam.
Terdahulu, Raja Permaisuri Johor itu, mengambil kesempatan beramah mesra dengan orang ramai yang hadir serta melawat gerai pameran sambil diiringi oleh Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Hafiz Ahmad sebelum menyampaikan sumbangan kepada kedua-dua guru tersebut bersama 90 lagi penerima yang terdiri daripada pelajar miskin, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) di daerah ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, ADUN Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim, ADUN Buloh Kasap, Norshida Ibrahim, ADUN Pemanis, Lau Chin Hoon dan ketua-ketua Jabatan Kerajaan di Segamat.
Norsalwa Abdul Wahab, 44, berkata, sumbangan sebanyak RM 3,000 dari Yayasan Majlis Daerah Segamat (YMDS) yang disampaikan oleh Raja Permaisuri Johor itu disifatkannya sebagai satu penghargaan terhadap jasanya selepas 22 tahun menjadi guru.
“Sebenarnya sebelum ini saya memang tidak mengetahui sumbangan yang diterima ini akan disampaikan sendiri oleh Raja Zarith Sofiah sehinggalah sampai ke dewan ini dan berasa amat teruja serta gementar untuk bertemu dengan kerabat diraja Johor tersebut.
“Saya amat berterima kasih kepada YMDS yang sudi menghulurkan bantuan ini bagi meringankan beban yang saya tanggung sekaligus sebagai hadiah sempena hari guru paling istimewa yang pernah saya terima setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan tersebut di SMK Agama segamat semalam.
Katanya, dia yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Desa Temu Jodoh dekat sini terpaksa mengambil cuti sejak dikesan mengidap barah payu dara tahap empat dua tahun lalu bagi menjalani rawatan di Hospital Melaka.
Sementara itu, Mahathir Aini,58, Guru Penolong Kanan di Sekolah Tinggi Segamat yang menerima sumbangan serupa dari Yayasan Majlis Daerah Labis berkata, pengalaman menerima sendiri sumbangan dari Raja Permaisuri Raja Johor selepas 37 tahun berkhidmat sebagai guru merupakan satu pengalaman paling berharga dan sukar dilupakannya.
“Sebelum ini saya hanya melihat wajah kerabat Raja Johor itu di dada akhbar dan kaca televisyen, namun hari ini saya begitu bertuah kerana berpeluang bertemu secara dekat dengan seorang permaisuri berjiwa rakyat.
“Kesudian Raja Zarith Sofiah berangkat menyampaikan sumbangan ini memberi gambaran bahawa pihak Istana Johor bukan sahaja prihartin terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat, malah sentiasa berusaha mendekati rakyat,” katanya.
Comments