SEGAMAT – Seorang isteri di Kampung Mensudut Lama, di sini, mengakui perlu mengambil sedikit masa untuk melupakan tragedi hitam yang berlaku selepas suaminya meninggal dunia dalam kejadian lemas, baru-baru ini.
Zainah Puwiro, 54, berkata, arwah suaminya, Tarmin Katiman, 58, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Ladang Bukit Bujang, di sini, pada awalnya tidak pulang ke rumah sejak 24 Januari lalu sebelum dijumpai tertiarap di kawasan banjir dua hari kemudian.
“Kebiasannya suami habis bekerja pada pukul 5 petang dan akan sampai ke rumah selewat-lewatnya pada pukul 5.30 petang dan pada hari kejadian, suami tidak pulang sehingga ke malam dan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
“Mak cik kemudian menghubungi salah seorang rakan sekerja suami dan dia memberitahu suami sudah pulang ke rumah dan ketika itu beberapa kawasan rendah yang menjadi laluan pulang sudah dinaiki air,” katanya.
Dia ditemui sewaktu menerima cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan oleh Adun Buloh, Norshida Ibrahim, di rumahnya.
Turut hadir ialah Pengurus Perkeso Segamat, Roslinda Juanis; Pengurus Ladang Bukit Bujang, Azizan Karim dan Ketua Kampung Mensudut Lama, Shamsuddin Abdul Majid.
Menurutnya, bimbang dengan sebarang kejadian yang tidak diingini, dia kemudian meminta pengurusan ladang untuk mencari suaminya selain menghubungi empat lagi anaknya untuk memaklumkan mengenai kehilangan suaminya itu.
“Kebiasaannya, apabila suami keluar bekerja, mak cik atau suami akan saling menghubungi di antara satu sama lain melalui telefon bimbit setiap jam sama ada hendak bertanya khabar atau berbual ringkas.
“Namun, pada hari kejadian, kami langsung tidak berhubung dan tidak menyangka itu merupakan satu petanda bahawa mak cik dan anak-anak akan kehilangan suami untuk selama-lamanya,” katanya.
Menurutnya, apa yang lebih memilukan, jasad suaminya itu ditemui sendiri oleh anak ketiganya, Mohd Nor, 26, yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi penyelamat pada hari kedua kehilangan suaminya itu.
Katanya, selepas kejadian tersebut, anak keempatnya, Mohd Azmi, 23, yang sebelum ini bekerja di Melaka juga terpaksa berhenti kerja dan pulang ke kampung bagi menjaga ibunya serta adik bongsunya, Siti Nur Ain Nazirah, 16, yang masih bersekolah.
Sementara itu, Roslinda berkata, selain menyerahkan FPM sebanyak RM1,500, keluarga Tarmin iaitu isterinya akan menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sehingga ke akhir hayat manakala anak bongsunya sehingga ke umur 21 tahun atau selepas tamat pengajian tinggi.
“Jumlah pencen bulanan yang dibayar adalah berdasarkan perkiraan mengikut gaji terakhir yang diterima olah pencarum yang meninggal dunia dan pada hari ini (semalam), kita juga turut menyerahkan bayaran FOT yang pertama,” katanya.
Comments