SEGAMAT – Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dengan kerjasama Majlis Daerah Segamat (MDS) telah menyediakan dua Bas Muafakat Johor (BMJ) yang telah beroperasi di daerah ini, mulai 1 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, BMJ ini akan menggunakan dua laluan perjalanan dan lapan trip perjalanan setiap hari dengan jarak sebanyakk 43.3 kilometer.
“Dua laluan tersebut adalah dari Terminal Bas Segamat melalui Bandar Segamat dan Bandar Putra ke Bukit Siput manakala laluan kedua pula dari Terminal Bas Segamat melalui Pasaraya Kip Mart dan Jalan Pemuda ke Taman Yayasan.
“Bas ini juga akan melalui tempat-tempat tumpuan utama termasuklah taman perumahan, institusi pendidikan, hospital dan klinik, pusat membeli belah dan pejabat-pejabat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan BMJ, Karnival Kemas 4U dan Pameran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Pasaraya One Segamat, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PAJ, Abdul Rahman Salleh; Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Johor, Taufik Md Yusof dan Yang Dipertua MDS, Miswan Yunos.
Pada masa sama, beliau yakin perkhidmatan BMJ ini tidak akan menjejaskan perkhidmatan operator bas tempatan selain BMJ ini hanya disediakan khusus buat semua warganegara Malaysia.
“Seperti di daerah ini, laluan yang digunakan oleh BMJ ini adalah laluan yang tidak dilalui oleh operator bas tempatan iaitu Syarikat Yow Hoe selain BMJ ini lebih kepada perkhidmanatan bas komuniti.
“Bagi kos penyelenggaran pula, kerajaan negeri akan menampung 70 peratus atau kira-kira RM328,000 di daerah ini manakala baki selebihnya iaitu 30 peratus atau kira-kira RM140,000 pula akan ditanggung oleh MDS,” katanya.
Menurutnya, beliau percaya perkhidmatan BMJ ini akan membawa manfaat yang besar kepada penduduk setempat selain inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan jaringan pengangkutan awam yang slesa dan mengurangkan beban sara hidup rakyat di negeri ini.
Comments