SEGAMAT – Peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) di dalam kawasan perumahan perlu dipelbagaikan lagi selaras dengan perananannya yang semakin meluas selain sebagai salah satu ejen penyatuan masyarakat.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, kewujudan KRT dan SRS di dalam sesuatu komuniti juga perlu dihormati kerana mereka turut berperanan membantu pihak berkuasa dalam mengekang isu jenayah dan kesejahteraan rakyat.

“Disebabkan itu, KRT perlu menduduki barisan hadapan dalam lingkungan kawasan yang diselia iaitu di taman perumahan supaya penduduk lebih yakin dengan kehadiran mereka dan bukan sebaliknya.

“Peranan yang dimainkan juga perlu dipelbagaikan lagi dan bukan sekadar bertindak menjaga keamanan kawasan yang diselia, tetapi lebih daripada itu iaitu menyatupadukan rakyat berbilang kaum dengan menganjurkan aktiviti secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan Program Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela Versi 6.0 Peringkat Daerah Segamat di Balai Raya Kampung Bumbun, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, Asisten Supritendan Ihsan Abdullah dan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Johor, Rajali Mudin.

Menurutnya, KRT dan SRS juga perlu diperkasa dan dinilai semula selaras dengan peranannya yang semakin mencabar walaupun tiada sebarang insentif atau elaun yang diberikan kepada mereka.

“Mereka menyertai KRT dan SRS kerana rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap keamanan dan keselamatan komuniti mereka dan saya percaya kerajaan negeri sentiasa sahaja membantu dan menjayakan apa juga program yang hendak dibuat oleh KRT.

“Sudah sampai masanya kerajaan memikirkan tentang imbuhan yang diterima Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini diberikan juga kepada KRT seluruh negara kerana mereka juga memainkan peranan serupa dalam mensejahterakan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap lebih ramai generasi muda menyertai KRT di taman perumahan masing-masing agar lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan dengan tersusun dan sesuai dengan peredaran semasa.

Menurutnya, Jabatan Perpaduan Daerah Segamat juga perlu menggiatkan lagi usaha untuk memperkenalkan fungsi KRT dan SRS ke seluruh daerah ini serta mampu menyedarkan masyarakat tentang pentingnya tanggungjawab menjaga keselamatan.

(Visited 1,867 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!