SEGAMAT – Seorang penunggang basikal maut selepas basikal yang dikayuhnya merempuh sebuah bas di Kilometer 179 Johor Bahru-Seremban berhampiran persimpangan Mahkamah Majistret Segamat, di sini, kira-kira pukul 1 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, mangsa yang dikenali sebagai V Athimoolam, 55, dipercayai gagal mengawal basikalnya sewaktu turun daripada persimpangan mahkamah sebelum terbabas memasuki jalan raya utama.

“Ketika kejadian terdapat bas persiaran yang dalam perjalanan dari Segamat ke Johor Bharu melalui kawasan kejadian dan gagal mengelak mangsa yang secara tiba-tiba keluar daripada persimpangan tersebut sebelum mangsa melanggar bahagian hadapan dan terperosok di bawah bas.
“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan maut serta merta di tempat kejadian dengan kecederaan di bahagian kepala dan beberapa anggota badan manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Rumah Mayat Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya yang menetap di Segamat Baru, di sini, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemandu bas persiaran tersebut, P Manoran, 65, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia yang masih terkejut dengan kejadian tersebut sempat memberhentikan basnya sejurus perlanggaran berkenaan.
“Sebuah lori yang membawa muatan balak di belakang saya juga terbabas ke arah bertentangan dan mujur ketika kejadian saya tidak membawa penumpang dan tiada kenderaan lain di laluan bertentangan.
“Pemandu lori tersebut juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan ini merupakan kemalangan pertama sejak beberapa tahun saya memandu bas persiaran,” katanya.
Comments