SEGAMAT – Seorang pengusaha ternakan lebah kelulut di Kampung Logah, di sini, mengalami kerugian apabila 33 log kelulutnya musnah dalam kejadian banjir yang melanda daerah ini, baru-baru ini.
Yacob Md Nor, 63, berkata, kesemua ternakan kelulutnya juga telah melepasi tempoh matang iaitu berusia enam bulan dan dijangka boleh dituai sedikit masa lagi menyebabkan kerugian yang dialaminya bertambah besar.
“Saya mula menternak kelulut pada bulan Mac tahun lalu dan ini merupakan kejadian banjir kali pertama dan saya tidak sempat untuk menyelamatkan kesemua log kerana air naik terlalu cepat.
“Log yang rosak juga tidak boleh digunakan lagi dan kesemua kelulut saya mati dan saya menganggarkan nilai kerosakan koloni kelulut adalah sebanyak RM50,000 selain beberapa peralatan seperti pagar turut rosak,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, dia juga kehilangan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan hasil pengeluaran dan jualan madu kelulutnya itu selain terpaksa mengeluarkan modal yang besar untuk memulakan semula ternakan kelulut.
Katanya, dia juga berharap pihak bertanggungjawab dapat membantunya untuk memulakan semula ternakan kelulut ini memandangkan tidak begitu ramai penternak kelulut yang terdapat di daerah ini.
“Selepas ini saya kena lebih berjaga-jaga tambahan pula terdapat ramalan gelombang kedua banjir dan mungkin akan memindahkan tapak penternakan kelulut ini ke kawasan yang lebih tinggi.
“Walaupun baharu setahun menceburi bidang ini, bagi saya terdapat potensi yang cukup besar dan pada masa hadapan saya bercadang untuk menambah lagi bilangan log kelulut kerana memang terdapat permintaan terhadap madunya,” katanya.
Comments