SEGAMAT – Penoreh getah di daerah ini mula menarik nafas lega apabila harga komoditi tersebut terus menunjukkan trend meningkat ke paras tertinggi diantara RM4 hingga RM4.50 sekilogram, baru-baru ini.

Jika sebelum ini harga pasaran komoditi itu sekitar RM1.60 hingga RM1.80 sekilogram, kini para penoreh terus menaruh keyakinan agar harga bahan itu kekal diparas tertinggi dan terus mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.

Kebanyakan penoreh di daerah ini juga bertambah lega dengan perkembangan itu menyebabkan industri pengeluaran getah membantu menstabilkan keadaan semasa apabila berdepan dengan kenaikan harga barang termasuk harga minyak masak.

Penoreh, Zaini Rahman, 47, yang juga generasi ketiga Felda Tenang, di sini, berkata, kenaikan harga getah tersebut memang dinanti oleh penoreh seperti dirinya yang hanya bergantung sepenuhnya kepada hasil getah.

Zaini berharap harga getah akan terus meningkat.

“Saya anggap kenaikan harga getah ini tepat pada masanya iaitu mejelang sesi persekolahan kerana saya masih mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan tidak perlu risau memikirkan barangan keperluan sekolah anak-anak saya.

“Saya bersyukur kerana pendapatan saya bertambah sekali ganda ketika ini mencecah RM400 seminggu hasil jualan 100 kilogram getah beku berbanding hanya sekitar RM200 sebelum ini dan ini adalah penimgkatan yang ketara,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, keadaan ini juga mampu membuatkan dia berada di dalam situasi yang agak selesa dan mampu menyimpan sedikit wang untuk tujuan kecemasan dan kegunaan ahi keluarganya.

Bagi  Mohd Ali Abdul Wahab, 43, kali terakhir harga getah meningkat tinggi adalah pada tahun 2011 sebelum harga komoditi tersebut jatuh menjunam selama enam tahun dan meningkat semua seperti sekarang.

Mohd Ali sedang mengasah pisau toreh sebagai persiapan untuk menoreh getah keesokan hari.

“Keadaan ini memberi keselesaan kepada saya walaupun kos sara hidup meningkat dengan ketara serta kedatangan musim tengkujuh yang menyebabkan jumlah hari menoreh agak berkurangan ketika ini.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dengan perkembangan ini kerana inilah sumber pendapatan saya dan ketika harga getah jatuh mendadak, saya tetap juga pergi ke kebun untuk menoreh,” katanya.

Katanya, dia yang mengambil upah menoreh kebun penduduk kampung mengakui pendapatannya turut meningkat sekali ganda mencecah RM1,000 sebulan ketika ini berbanding hanya RM500 sebelum.

Syukur dalam gelisah

Walaupun harga getah meningkat, kebanyakan penoreh getah mengakui musim tengkujuh yang sering berlaku pada penghujung tahun sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan mereka apabila tidak boleh keluar menoreh.

Adam Said, 76, berkata, walaupun ramai yang menyangka penoreh berada dalam keadaan mewah ketika ini, mereka tidak mengetahui dilema yang dihadapi penoreh apabila hanya dapat keluar menoreh sekitar lima hari sahaja dalam sebulan disebabkan hujan.

Adam sedang menoreh di kebun getah miliknya

“Kadang-kadang dalam seminggu kami tidak boleh keluar menoreh disebabkan pokok basah dan terpaksa melakukan pekerjaan lain seperti mengusahakan hasil sawit atau mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung.

“Ketika harga getah meningkat sekarang, pak cik dan rakan-rakan penoreh yang lain juga berasa seronok untuk pergi ke kebun dan ada anak-anak muda yang turut menunjukkan minat untuk pergi ke kebun,” katanya.

Menurutnya, ketika kejatuhan harga getah sebelum ini, terdapat penoreh getah yang kecewa dan mencari pekerjaan lain dan berharap harga getah kekal seperti sekarang yang mampu memberi sedikit kelegaan kepada penoreh.

Penoreh getah menjual getah beku di pusat jualan di Pekan Air Panas, Labis.

Bagi Ibrahim Abdullah, 67, berkata, harga getah yang kini meningkat sepatutnya melegakan kebanyakan penoreh, tetapi mereka bimbang kerana kenaikan itu mengundang kes kecurian getah.

“Ketika harga getah meningkat dahulu, ada individu yang tidak bertanggungjawab mencuri getah beku pada pokok dan turut melarikan sekali cawan getah menyebabkan perasaan risau itu timbul kembali.

“Inilah masalah yang merungsingkan penoreh getah. Bila harga turun kami kesempitan, bila harga naik, kami berdepan pula dengan pencuri. Kasihanilah kami kerana ini sahajalah hasil pendapatan utama kami untuk menyara keluarga,” katanya.

Sementara itu, pembeli getah berlesen yang hanya ingin dikenali sebagai Kamal berkata, pusat beliannya kini menjadi tumpuan sehingga pembelian getah skrap bagi bulan ini meningkat sekali ganda.

Menurutnya, sebelum ini, pembelian getah beku hanya sekitar tiga hingga empat tan seminggu, namun selepas kenaikan harga getah, jumlah pembelian mencecah kepada tujuh hingga lapan tan seminggu.

(Visited 1,120 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!