LABIS – Pemandangan pokok getah yang dipenuhi daun-daun hijau dan kekuningan yang kering gugur ke tanah pastinya dapat dilihat jika melalui kawasan perkampungan atau di sepanjang jalan di sekitar daerah ini.
Secara tidak langsung pokok-pokok dan ranting itu memberi satu pemandangan indah tetapi tidak kepada pekebun getah kerana situasi itu juga menandakan sumber pendapatan mereka juga jatuh merosot ekoran pokok getah amat kurang mengeluarkan susu getah.
Akibat luruhan daun getah itu, kebanyakan penoreh getah di daerah ini mendakwa pendapatan mereka menyusut hampir 50 peratus berikutan hasil kebun terjejas disebabkan masalah daun pokok getah yang luruh berulang kali sejak awal tahun ini.
Abdul Rahim Abdul Malek, 50, seorang pekebun kecil di Kampung Sawah Baru, di sini berkata, dia yang menoreh kebun getah seluas tiga ekar hanya memperolehi 30 kilogram getah sehari berbanding sekitar 60 hingga 70 kilogram sebelum ini.
“Kami bukan sahaja mengalami masalah hasil kebun yang merosot mendadak, tetapi harga pasaran getah yang rendah sekitar RM2 sekilogram juga turut memberi kesan besar terhadap pendapatan kami
“Saya harap pihak berwajib dapat membuat kajian bagi mengenal pasti masalah yang menyebabkan daun getah yang belum matang luruh selepas ditimpa hujan hingga menjejaskan hasil getah,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, daun getah yang luruh ini bukan sahaja mengalami masalah kerinting, malah terdapat kesan bintik pada daun tersebut yang mungkin disebabkan oleh penyakit bawaan angin.
Bagi Shamsuddin Ibrahim, 61, berkata, dia turut mengalami masalah sama dan berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka termasuk melakukan ujian kesesuian tanah dengan klon getah yang ditanam.
“Ini merupakan kali pertama pokok getah di kampung saya dan beberapa kawasan lain di sekitar Labis mengalami masalah seperti ini dan mungkin disebabkan klon sedia ada tidak sesuai dengan keadaan tanah di kawasan terbabit.
“Kebiasaannya daun getah akan kekuningan dan gugur pada musim panas dan proses pucuk muda menjadi daun matang dan hasil pulih kembali seperti biasa selalunya memakan masa kira-kira dua bulan sahaja,” katanya.
Seorang lagi penoreh, Hashim Abu Bakar, 55, pula berkata, dia turut mengeluh kerana pendapatan hasil mengambil upah menoreh di kebun penduduk kampung terlalu kurang ketika ini.
“Sebelum ini kami terpaksa menghadapi kejatuhan harga getah, kini terpaksa pula berdepan dengan masalah kurang hasil torehan serta keadaan cuaca yang tidak menentu sehingga mengurangkan jumlah hari menoreh.
“Kos hidup yang semakin meningkat membuat kami begitu tertekan. Bayangkan pendapatan saya menoreh tidak sampai RM20 sehari sedangkan tambang bas sekolah seorang anak pula sebanyak RM8 sehari,” katanya.
Menurutnya, dia juga mengetahui proses luruhan daun getah merupakan rutin wajib setiap tahun yang perlu dilalui oleh setiap penoreh getah, namun berbeza pada tahun ini apabila proses luruhan tersebut berlaku sebanyak dua kali.
Katanya, lazimnya pokok getah akan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk proses luruhan daun, mengeluarkan pucuk baharu sebelum memutikkan bunga serta berbuah sehingga memaksa penoreh ‘menggantung’ pisau torehan.
“Musim luruhan yang pertama berlaku sejak bulan Februari hingga Jun lalu. Namun kami tidak menyangka proses luruhan ini berterusan sehingga sekarang dan salah satu faktornya adalah keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Ada penoreh getah yang mengalami kerugian selepas pokok getah yang telah dibaja tidak mengeluarkan susu getah yang sepatutnya dan seperti saya, inilah pendapatan utama saya kerana tiada pekerjaan lain,” katanya.
Comments