SEGAMAT 1 Jun – Peniaga di bazar Ramadan dinasihatkan agar menutup makanan menggunakan plastik lutsinar bagi mengelakkan habuk dan pencemaran sebagai salah satu aspek keselamatan makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, dengan memastikan keadaan makanan dalam keadaan selamat dapat mengelakkan pelbagai penyakit akibat pencemaran makanan seperti keracunan.
“Keracunan makanan boleh berlaku apabila seseorang mengambil makanan yang tercemar dengan bakteria dan kesannya boleh dirasai selepas tiga hingga 24 jam yang boleh menyebabkan sakit perut, muntah dan cirit birit.
“Ketika cuaca panas, tanah menjadi kering serta berhabuk dan makanan di bazar Ramadan yang terletak berhampiran jalan raya terdedah kepada habuk dan disebabkan itu pentingnya menutup makanan dengan plastik lutsinar ini,” katanya.
Ayub berkata demikian kepada pemberita sewaktu Kempen Keselamatan Makanan Bulan Ramadan Peringkat Negeri Johor di bazar Ramadan Taman Utama, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Zaid Kassim; Pengarah Hospital Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad dan Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Zalilah Nasir.
Menurutnya, hasil pemantauan premis makanan sepanjang bulan Ramadan tahun lalu di seluruh negeri juga mendapati secara keseluruhan tahap keselamatan makanan adalah memuaskan kerana tiada kes keracunan makanan yang diterima.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 3,856 premis makanan bazar Ramadan telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,275 premis mencapai tahap penilaian kebersihan yang amat baik.
“Manakala, baki selebihnya iaitu 311 premis mendapat tahap penilaian kebersihan yang memuaskan dan tiada premis yang mendapat tahap penilaian kebersihan di bawah markah 50 peratus atau ditutup,” katanya.
Pada masa sama, sepanjang bulan Ramadan tahun 2016, sebanyak RM13,000 nilai produk makanan telah dirampas oleh pegawai berkuasa dalam Operasi Lak dan Sita akibat tidak mematuhi keperluan pelabelan, kerosakan fizikal pembungkusan dan tarikh luput.
Menurutnya, pada tahun ini juga, Operasi Lak dan Sita akan diteruskan bagi memastikan keselamatan kepada pengguna terjamin selain pendidikan kesihatan telah diberikan kepada pengusaha bazar Ramadan di negeri ini.
“Jika anda terbeli makanan yang sudah basi, anda boleh melaporkan terus kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) dan Pejabat Kesihatan Daerah supaya peniaga tersebut dikenakan tindakan yang sepatutnya.
“Dari segi cara pula, kita boleh tengok dan hidu makanan tersebut untuk memastikan makanan tersebut dalam keadaan segar dan selamat dimakan dan ini adalah salah satu cara dalam menentukan makanan yang kita beli,” katanya.
Comments