SEGAMAT – Akibat cuaca panas melampau yang melanda negeri ini, beberapa petani di kawasan Zon Pengeluaran Makanan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Chemplak, di sini, mendakwa mengalami kerugian.
Salah seorang petani, Khairuddin Ahmad, 46, berkata, kerugian yang dialami olehnya dan beberapa petani lain yang mengusahakan tanaman keledek di atas tanah seluas kira-kira 30 ekar juga mencecah puluhan ribu ringgit.
“Hasil keledek yang sepatutnya boleh dituai dalam masa terdekat selepas ditanam pada awal Januari lalu ada yang mati manakala pembesarannya menjadi terbantut dan tidak bermutu kerana kekurangan air selain cuaca panas yang semakin terik sejak beberapa hari ini.
“Sepanjang musim panas ini, kami hanya memperolehi hasil kira-kira 30 peratus sahaja dan sepatutnya kami boleh menuai hasil keledek sebanyak enam hingga lapan tan setiap ekar secara purata dan boleh dijual dengan harga RM1.50 hingga RM2.50 sekilogram,” katanya.
Menurutnya, selain pernah berikhtiar melakukan siraman secara berkala, dia dan beberapa rakan petani lain juga berharap agensi bertanggungjawab dapat membantu mereka membekalkan sistem siraman bagi mengatasi masalah ini.
Bagi Zailani A lwi, 49, berkata, disebabkan masalah ini juga, dia tidak dapat menyediakan modal pusingan yang sepatutnya pada musim akan datang apabila tanaman keledek yang diusahakan di atas tanah seluas lima ekar tidak mengeluarkan hasil yang sepatutnya.
“Masalah saya bertambah teruk apabila hampir seratus guni benih yang bernilai hanpir RM8,000 yang sepatutnya ditanam juga kering begitu sahaja akibat tananam yang sebelum ini tidak sesuai untuk dijadikan benih kerana terbantut dan tidak sihat.
“Sepatutnya saya tidak perlu membeli benih kerana keledek yang ditanam sebelumnya boleh menghasilkan benih dan saya berharap ada pihak atau mana-mana agensi yang boleh membantu meringankan masalah kami ini,” katanya.
Menurutnya, dia juga mendakwa, sepanjang hampir setahun mereka mengusahakan projek tersebut, sebarang bantuan seperti baja dan khidmat nasihat juga belum pernah diterima oleh mereka.
Sementara itu, salah seorang petani yang ingin dikenali sebagai Zahari, 49, berkata, dia berharap agensi bertanggungjawab dapat memberikan bantuan pam air untuk mengepam air dari kolam yang terdapat di kawasan kebun mereka serta sistem paip untuk tujuan siraman.
“Berbanding tahun lalu, musim kemarau pada kali ini adalah yang paling teruk sehingga hampir keseluruhan tanaman keledek saya tidak boleh dijual kerana terlalu kecil serta rosak akibat cuaca terlalu panas.
“Bagaimanapun, hujan yang turun semalam (kelmarin) sedikit sebanyak melegakan kami dan saya berharap musim panas ini akan segera berlalu kerana kebanyakan air di telaga kami juga sudah hampir kering,” katanya.
Comments