SEGAMAT – Pengguna Jalan Redong-Selancar diminta agar mematuhi larangan penutupan sementara jalan tersebut dan tidak membahayakan diri dengan melalui jambatan sementara yang dibina menggunakan kayu.
Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, ini kerana jambatan sementara tersebut yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya boleh dilalui oleh motosikal sahaja dan bukannya kenderaan lain.
“Sebelum ini terdapat pemandu kereta dan pacuan empat roda yang membahayakan nyawa mereka dengan melalui jambatan sementara ini walaupun papan tanda larangan telah dipasang di kawasan ini.
“Bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini, saya telah meminta pihak JKR supaya membuat penghalang dan memasang sekatan di jambatan ini yang hanya boleh dilalui oleh motosikal sahaja,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, kerja-kerja membaiki semula jalan tersebut yang putus sewaktu banjir besar yang melanda daerah ini, dijangka akan dapat disiapkan dalam masa terdekat dan meminta pengguna jalan raya supaya bersabar.
Katanya, buat sementara ini, pengguna jalan raya yang ingin ke Selancar atau ke Segamat juga perlu melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan sehingga laluan berkenaan dibuka sepenuhnya kepada kenderaan.
“Saya juga telah mencadangkan agar satu lorong alternatif untuk kenderaan berat akan dibina di Jalan Felda Redong-Selancar dalam masa terdekat bagi melencongkan aliran trafik khususnya di kawasan perkampungan Felda Redong.
“Pembinaan laluan alternatif itu yang dibina di dalam kawasan ladang juga dijangka akan melibatkan pengambilalihan tanah kebun peneroka namun dalam kuantiti yang sedikit serta pembayaran pampasan kepada mereka yang terlibat,” katanya.
Menurutnya, JKR juga telah melakukan spesifikasi dan pemilihan tapak yang sesuai bagi menggantikan laluan sedia ada dan saya peribadinya maklum mengenai masalah yang dialami penduduk Felda Redong ini.
Comments