SEGAMAT – Seorang peneroka maut apabila motosikal yang ditungganinya dilanggar sebuah lori penghantar roti di Jalan Felda Redong-Labis, di sini, dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, mangsa, Othman Mohammad, 69, maut serta merta ditempat kejadian selepas mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan selain motosikalnya terpotong kepada dua bahagian.
“Siasatan awal mendapati lori satu tan yang dipandu dari arah Labis-Felda Redong dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang dinaiki mangsa dari arah bertentangan berhampiran kawasan perkampungan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu jalan sebelah kiri dan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian manakala lori tersebut terbabas dan terbalik ke kawasan kebun kelapa sawit,” katanya.
Menurutnya, pemandu lori yang mengalami kecederaan kemudian dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS) menggunakan ambulan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Rumah Mayat HDS untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Redong, di sini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saya menasihatkan pengguna jalan raya terutamanya kenderaan berat supaya berhati-hati terutamanya ketika melalui kawasan perkampungan,” katanya.
Comments