LABIS – Kira-kira 400 penduduk Kampung Sawah Baru, di sini, meminta syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi agar mempertingkatkan kemudahan komunikasi dan jalur lebar di kawasan berke­naan.

Ketua kampungnya, Idris Abdullah berkata, hampir keseluruhan penduduk kampung mengadu kepadanya agar dibina sebuah pencawang bagi mengatasi masalah isyarat telekomunikasi yang lemah dan terhad di kawasan tersebut.

“Kebanyakan penduduk kampung ini sudah menggunakan telefon bimbit, namun isyarat telefon bimbit yang lemah dan sering tiada liputan menyebabkan kami tidak dapat menggunakan perkhidmatan ini secara maksimum.

“Saya percaya jika sistem telekomunikasi di kawasan ini menjadi lebih baik, syarikat telekomunikasi boleh mengaut keuntungan daripada itu kerana memang penduduk kampung terdesak memerlukan kemudahan terbabit,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, mengikut rekod, ketua kampung yang terdahulu sebelumnya pernah memohon pembinaan pencawang telekomunikasi kira-kira 15 tahun lalu namun tiada sebarang maklum balas yang diterima.

Katanya, keadaan persekitaran pada hari ini juga sudah semakin maju, justeru masyarakat semakin memerlukan talian komunikasi yang semakin baik untuk pelbagai tujuan sama ada untuk mengakses internet atau melakukan panggilan.

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Baru, Mohamad Yahya berkata, disebabkan masalah ini juga, pihak sekolah menghadapi masalah untuk memasukkan data atau menghatar maklumat secara atas talian.

“Walaupun di kawasan sekolah terdapat pencawang internet, capaiannya terlalu perlahan dan jika ada pencawang telekomunikasi, penduduk kampung dan warga sekolah mudah berhubung dengan dunia luar khususnya berkaitan dengan perkara penting atau ketika berlaku kecemasan.

“Sekiranya hendak melakukan panggilan menggunakan telefon bimbit, saya terpaksa mencari isyarat telefon terlebih dahulu di sekitar kawasan sekolah dan sekiranya hujan, isyarat telefon terus tiada,” katanya.

Bagi peniaga kedai runcit, Roslinah Yusof, 55, berkata, hasratnya untuk melanggan pakej jalur lebar melalui talian telefon tetap juga terpaksa dilupakan apabila dimaklumkan kawasannya itu tidak mempunyai sebarang liputan.

Katanya, dia mengakui keadaan ini amat menyukarkan penduduk kampung ekoran beberapa kampung sekelilingnya seperti Kampung Tenang, Pekan Air Panas dan Kampung Lembah Bakti mempunyai pencawang dan tidak mempunyai masalah seperti mereka.

Sementara itu, Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, beliau akan membawa permasalahan yang dihadapi penduduk kampung ini di dalam Mesyuarat Tindakan Daerah (MTD) untuk tindakan selanjutnya.

“Sebelum ini saya pernah menyuarakan permasalahan yang sama di Kampung Orang Asli Segamat Kecil sebelum pencawang telekomunikasi berjaya dipasang di kawasan berkenaan sebelum Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

“Diharap perkara ini dapat diselesaikan segera agar penduduk kampung ini dapat menikmati talian komunikasi dan kemudahan internet yang lebih baik demi pembangunan komuniti di sini pada masa akan datang,” katanya.

(Visited 1,024 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!