LABIS – Penduduk Kampung Usaha Jaya dan Kampung Sungai Gatom, di sini, boleh menarik nafas lega apabila laluan alternatif yang menghubungkan dua kawasan tersebut akan dibuka beberapa bulan lagi.
Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, jalan alternatif sepanjang 1.3 kilometer yang telah mula dibina pada awal Mac lalu itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 300 penduduk dua kampung berkenaan.
“Sebelum ini penduduk Kampung Usaha Jaya terpaksa melalui Jalan Yong Peng-Labis sama ada untuk menghantar anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Labis, ke kebun atau untuk ke Pekan Labis.
“Selepas ini, dengan adanya jalan alternatif ini, mereka (penduduk) tidak perlu melalui jalan utama lagi yag sesak dengan kenderaan dan masa perjalanan juga dapat dipendekkan di antara 15 hingga 20 minit,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, beliau turut dimaklumkan oleh juruteknik Pejabat Daerah Segamat bahawa kemungkinan besar jalan alternatif ini akan diturap sebahagiannya manakala yang selebihnya akan menggunakan batu kasaran disebabkan oleh kawasan berpaya.
Katanya, selepas jalan alternatif itu siap sepenuhnya, pihaknya akan memikirkan langkah seterusnya dengan memasang lampu jalan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada waktu malam.
Sementara itu, Ketua Kampung Usaha Jaya, Tasri Talib berkata, dia meluahkan rasa gembira apabila kerajaan mengeluarkan peruntukan untuk pembinaan jalan bagi kemudahan penduduk setempat.
“Walaupun jalan ini masih belum siap, ada penduduk yang menggunakan jalan pintas ini kerana ternyata lebih dekat tetapi terpaksa berhadapan risiko kenderaan rosak kerana permukaannya yang berlopak dan tidak sempurna
“Kami sangat menghargai usaha kerajaan yang membina infrastruktur ini kerana sebelum ini kami pernah menyuarakan pembinaan jalan pintas ini dan saya harap selepas ini manfaatnya dapat dinikmati oleh penduduk,” katanya.
Comments