LABIS – Penduduk di lima perkampungan Orang Asli dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kudong, di sini, menggesa kerajaan agar mempertingkatkan kemudahan komunikasi dan jalur lebar di kawasan berkenaan.

Guru Besar SK Kampung Kudong, Datuk Rusdin Mahamud berkata, dengan adanya kemudahan tersebut, penduduk kampung serta warga sekolah mudah berhubung dengan dunia luar khususnya berkaitan dengan perkara penting atau ketika berlaku kecemasan.

“Apa yang paling penting adalah kemudahan komunikasi khususnya jalur lebar kerana ia memudahkan untuk berhubung sama ada melibatkan pekerjaan mahupun perkara peribadi kerana liputan komunikasi yang ada ketika terlalu terhad.

“Sekiranya pihak sekolah mahu memasukkan data atau menghantar maklumat secara atas talian kami terpaksa pergi ke Pekan Bekok sejauh kira-kira 10 kilometer dan keadaan ini amat menyukarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Permuafakatan Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kampung Kudong yang dirasmikan oleh Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau dan penduduk kampung amat berharap kampung berkenaan juga mempunyai liputan talian telefon bimbit kerana kemudahan berkenaan sudah menjadi satu keperluan.

Katanya, beliau yakin kemudahan komunikasi dan jalur lebar, mampu menarik minat pelancong untuk datang ke Taman Negara Selai-Endau Rompin yang akan melalui kawasan perkampungan ini.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau akan membawakan isu tersebut dan berjumpa sendiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Memandangkan sekolah ini merupakan sekolah angkat Tabung Haji, saya akan meminta jasa baik beliau supaya memasang sebuah pencawang komunikasi di sekolah ini kerana kedudukannya yang strategik daripada lima kampung Orang Asli di sini.

“Saya akan pastikan sebelum bulan Ramadan ini pencawang komunikasi tersebut sudah siap dipasang dan berfungsi kerana ini merupakan hasrat kerajaan untuk menyediakan kemudahan prasarana dan infrastruktur kepada rakyat,” katanya.

(Visited 659 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!