LABIS – Kejatuhan harga komoditi getah dan sawit yang menjejaskan pendapatan kebanyakan pekebun kecil di Kampung Tenang membuka peluang kepada mereka untuk memulakan usaha menanam pisang yang mampu memberi pulangan lumayan dalam jangka masa yang singkat.

Pekebun, Abdul Halim Othman, 49, berkata, dia bersyukur kerana masih mempunyai jalan untuk menambah pendapatan dengan mengusahakan tanaman pisang tanpa sebarang ganguan daripada gajah liar yang sering memusnahkan tanaman penduduk sebelum ini.

“Tanaman kami lebih selamat sekarang kerana gajah liar tidak lagi memasuki kawasan kampung selepas kerajaan membina paagar elektrik sejauh 23 kilometer yang merentangi kawasan kawasan Hutan Simpan Labis dengan kawasan kampung sejak enam tahun lalu.

“Sebelum ini penduduk lebih rela membiarkan kebun mereka yang kini ditanam dengan pisang dipenuhi dengan belukar kerana kecewa tanaman mereka tanam seperti getah dan kelapa sawit dimusnahkan gajah liar yang mencari makan,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Katanya, dia kini lebih selesa mengusahakan tanaman pisang seluas kira-kira dua ekar yang memberi pulangan lebih lumayan berbanding hasil sawit yang sedang melawas ketika ini selain kejatuhan harga getah yang teruk sehingga menjejaskan pendapatannya.

Abdul Halim Othman
Abdul Halim Othman

Bagi Omar Embong, 52, yang mengusahakan hampir 20 ektar tanaman pisang berkata, dia kini sudah jarang menjenguk kebun getahnya kerana ingin memberi tumpuan kepada tanaman pisang yang lebih menguntungkan berbanding menoreh getah ketika ini.

“Ini tidak bermakna saya berhasrat untuk meninggalkan kerja saya sebagai pekebun kecil getah kerana ini merupakan sumber pendapatan saya untuk menyara keluarga selama ini, tetapi akan kembali menoreh getah seperti biasa sekiranya harga getah kembali stabil.

Omar Embong
Omar Embong

“Pagar gajah yang ada bukan sahaja menyelamatkan tanaman penduduk kampung, malah keselamatan penduduk untuk ke kebun pada awal pagi juga lebih terjamin kerana sebelum ini pernah berlaku penduduk diserang haiwan tersebut sehingga melibatkan kematian,” katanya.

Sementara itu, Ali Daud, 63, berkata, tanpa tanaman pisang yang diusahakannya ketika ini, dia mungkin mengalami masalah kewangan kerana terpaksa bergantung kepada pendapatan hasil menoreh yang tidak sampai RM600 sebulan berbanding sekitar RM 1,500 sebelumnya.

Ali Daud
Ali Daud

“Sekarang, terdapat lebih 25 pekebun sudah beralih kepada tanaman pisang dengan keseluruhan kawasan terlibat dianggarkan 150 ekar dan boleh dikatakan tanah tersebut adalah tanah terbiar atau dusun yang tidak memberi pulangan lumayan sebelum in.

“Tanaman pisang bukan sahaja penyelamat kepada saya, malah kebanyakan pekebun di sini kerana kami kini tidak mahu lagi hanya bergantung kepada hasil pokok getah semata-mata untuk menyara keluarga sejak kejatuhan teruk harga getah,” katanya.

(Visited 524 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!