LABIS – Penantian selama 28 tahun kariah Surau Al-Islah Taman Mewah, di sini, untuk menukar status surau tersebut kepada masjid berjaya apabila permohonannya diluluskan pada 13 Februari lalu.
Pengerusinya, Hamdan Musa berkata, surau tersebut yang telah dibina pada tahun 1989 juga telah diberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat sejak 14 tahun lalu oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij).
“Sebelum mendapat kebenaran mendirikan solat Jumaat di sini, ramai ahli kariah terpaksa pergi ke Masjid Jamek Labis yang lama berhampiran Kampung Sungai Gatom dengan jarak kira-kira lima kilometer.
“Selepas diberi kebenaran tersebut, kebanyakan kariah kami yang terdiri daripada penduduk 10 kawasan taman perumahan mampu menarik nafas lega kerana tidak perlu bersusah payah lagi untuk pergi ke Masjid Jamek Labis,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, selepas memperolehi kebenaran tersebut, pihaknya juga terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membayar elaun imam sebanyak RM600 sebulan dan selepas penaiktarafan ini, pembayaran itu akan diambilalih oleh Maij pula.
Katanya, masjid tersebut juga mampu menampung kira-kira 350 jemaah pada satu-satu masa dan berharap penaiktarafan masjid ini juga mampu memberi pelbagai manfaat kepada ahli kariahnya.
“Sebelum ini sudah ada pelbagai aktiviti keagamaan di surau ini, dan selepas menjadi masjid, kami telah merangka untuk memperbanyakkan lagi aktiviti keagamaan dan kerohanian seperti kuliah Subuh dan Maghrib.
“Kutipan tabung ketika solat Jumaat juga semakin meningkat dan pada masa akan datang, pihak masjid bercadang untuk membeli tanah di hadapan masjid untuk dijadikan kawasan parkir yang lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, salah seorang kariah masjid tersebut, Asrol Talib, 45, yang tinggal di Taman Seri Emas, di sini, berkata, kehadiran jemaah yang terlalu ramai untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardhu mungkin merupakan salah satu faktor penaiktarafan tersebut.
Menurutnya, selepas ini dia berharap pihak bertanggungjawab dapat memasang papan tanda masjid berhampiran jalan utama memandangkan masjid berkenaan terletak di dalam kawasan perumahan.
Comments