SEGAMAT – Penantian selama tujuh tahun pelajar dan guru Sekolah Agama (SA) Melayu Raya, di sini, untuk menduduki bangunan sekolah baharu tercapai apabila sekolah tersebut dirasmikan pembukaannya 27 Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, bangunan sekolah tersebut mula dibina pada tahun 2010 dengan kos awal RM1.7 juta sebelum terbengkalai disebabkan masalah kontraktor.
“Selepas itu, kerajaan negeri melantik Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) untuk mengambilalih ‘projek sakit’ ini dengan kos tambahan RM1 juta menjadikan kos keseluruhan pembinaan sekolah ini sebanyak RM2.7 juta.
“Sebelum ini, bangunan lama sekolah dibina di atas tanah masjid Kampung Melayu Raya namun disebabkan faktor murid yang semakin bertambah dan keadaan bangunan yang tidak sesuai, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan bangunan baharu ini,” katanya.
Ayub yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Bangunan Baharu SA Melayu Raya, di sini.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Islam Daerah (PPID) Segamat, Faiz Rohani; Pengerusi Badan Kebajikan SA Melayu Raya, Idris Yunos; wakil KPRJ, Mejar (Bersara) Amin Sarip dan Ketua Gampung Genuang Baru, Abdul Rahman Marjo.
Menurutnya, apabila sekolah ini siap sepenuhnya, beliau telah mencadangkan kepada PPID agar diadakan satu perjumpaan di antara PPID, para guru dan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah ini.
“Ini kerana, bukannya mudah untuk kita dirikan sebuah sekolah agama yang peruntukannya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan sepatutnya menjadi satu detik yang bersejarah.
“Di Dun Kemelah sahaja, terdapat enam sekolah agama baharu yang telah siap dibina termasuk SA Melayu Raya iaitu SA Bandar Putra, SA Pogoh, SA Kampung Melayu Raya dan SA Bukit Siput selain SA Segamat Baru yang bakal dibina,” katanya.
Menurutnya, semasa lawatan Menteri Beaar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Parlimen Sekijang, baru-baru ini, beliau memaklumkan SA Segamat Baru akan mula dibina pada tahun hadapan di Jalan Genuang, di sini.
Katanya, dalam Bajet Negeri Johor yang lalu, kira-kira RM350 juta akan dibelanjakan untuk pembangunan agama Islam di negeri ini dan tidak termasuk RM220 juta duit zakat yang dipungut oleh Majlis Agama Islam Johor (Maij).
“Ini membuktikan kerajaan negeri cukup prihatin dengan setiap permasalahan yang berlaku di peringkat akar umbi termasuk masalah-masalah sekolah agama dan di daerah Segamat sahaja, terdapat 53 sekolah agama.
“Selain itu, saya meminta PPID agar dapat memohon dengan Maij untuk menukar nama sekolah agama ini kepada nama pewakaf tanah ini yang telah meninggal dunia selain mengenang jasanya yang disifatkan terlalu besar,” katanya.
Comments