SEGAMAT – Seorang pemuda di Kampung Sawah Baru dekat sini, tidak menyangka permintaan adiknya untuk membeli seekor arnab hiasan semasa berkunjung ke expo di Dataran Labis tiga tahun lalu menjadi titik tolak kepada usahanya menternak arnab hiasan ketika ini.

Khairulnizan Omar,22, bekas pelajar Kolej Yayasan Felda Mempaga dalam bidang masakan berkata, dia mula ‘jatuh cinta’ dan terfikir untuk menternak arnab selepas mendapati haiwan peliharaan tersebut mempunyai ramai peminatnya sendiri sejak lebih dua tahun lalu.

“Selain comel dan manja, arnab hiasan juga mudah dipelihara selain mengambil masa yang singkat untuk membiak dan membesar berbanding haiwan hiasan lain seperti kucing dan burung.

“Arnab hiasan hanya memerlukam masa sekitar tiga hingga empat minggu sahaja untuk mencapai berat 500 gram selepas dilahirkan dan boleh dijual,” katanya yang turut dibantu adiknya untuk melakukan kerja -kerja menjaga arnab tersebut kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, kini dia mempunyai kira -kira 80 ekor arnab hiasan daripada baka Holland Loop, Lion Head, Anggora, Ducth dan Rex yang sedia untuk dipasarkan kepada peminat haiwan peliharaan tersebut.

Salah seekor arnab hiasan baka Lion Head milik Khairulnizan

Ujarnya lagi, setakat ini arnab peliharaannya mendapat permintaan daripada peminat arnab hiasan dari negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor selain Johor yang sering datang untuk mendapatkan arnab yang dihajati serta pernah dilawati peminat arnab hiasan dari Taiwan baru -baru ini.

Katanya, selain arnab hiasan dia turut memelihara kira-kira 300 ekor arnab daging daripada baka New Zealand White dan Groot kerana terdapat permintaan dari pelanggan yang gemar keenakan daging arnab.

Tambahnya lagi, arnab hiasan hanya melahirkan dua atau tiga ekor setiap kali beranak berbanding sehingga 10 ekor bagi arnab daging yang lazim bersaiz lebih besar.

Sepanjang tempoh setahun arnab boleh bunting sehingga lima kali kerana tempoh bunting arnab hanya 32 hari sementara tempoh matangnya hanya mengmbil masa dua hingga tiga bulan sahaja.

“Sepanjang lebih dua tahun menternak arnab hiasan ini, saya dapati peminat haiwan peliharaan ini tidak pernah berkira dan sanggup mengeluarkan wang yang banyak asalkan mereka mendapat arnab yang dihajati.

Ibu arnab sentiasa menjaga anak yang masih kecil bagi mengeelakkan sebarang gangguan daripada pemangsa

“Setakat ini saya menjual arnab hiasan yang saya pelihara dengan harga bermula RM80 hingga RM200 bergantung kepada baka dan umur serta saiz,” katanya.

Katanya, pada masa akan datang dia bercadang untuk membesarkan kandangnya dan membuka peluang kepada orang ramai membawa anak-anak mereka bermain dengan arnab peliharaannya dengan bayaran yang minima.

Menurutnya, dia bercadang mengamalkan konsep tersebut kerana terdapat dalam kalangan mereka yang berminat dengan haiwan tersebut tetapi tidak boleh memeliharanya di rumah atas faktor masa dan komitmen lain.

“Saya merebut peluang untuk menjalankan usaha menternak arnab hiasan ini kerana ianya satu bidang baharu di sini selain mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai punya pendapatan lumayan.

“Ramai yang beranggapan memelihara arnab rumit kerana terdapat persepsi yang menyatakan arnab tidak mahu menyusukan anak yang baharu dilahirkan, namun itu semua tidak benar dan ianya bergantung kepada kita untuk mencari jalan mengajarnya menyusukan anak,” katanya.

Usaha Khairulnizan Mampu Bantu Perkenalkan Labis

Usaha menternak arnab hiasan yang dijalankan oleh Khairulnizan merupakan sesuatu yang baharu bagi masyarakat di sini dan mampu memperkenalkan kawasan Labis kepada orang luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, usaha tersebut harus dijadikan contoh oleh golongan muda untuk merebut peluang yang ada dalam bidang keusahawanan.

“Saya harap usaha ini akan membakar semangat semangat golongan muda di kawasan ini untuk lebih kreatif meneroka pelbagai bidang baharu dan tidak hanya berharap untuk makan gaji sahaja.

“Sebagai menyokong dan galakkan kepada usaha yang dijalankan itu, saya akan melihat sebarang bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi memastikannya dapat terus berkembang sebagai usahawan berjaya pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, Khairunisa Omar,18, berkata, dia merupakan salah seorang yang paling gembira apabila abangnya memberitahu hasratnya untuk menternak arnab hiasan.

Khairulnisa (kiri) membantu abangnya Khairulnizan (kanan) di kandang arnab daging yang terletak dibelakang rumahnyat

Katanya yang sedang mengintai peluang untuk melanjutkan pelajaran di intitut pengajian tinggi, dengan adanya usaha tersebut, dia boleh ‘bermain’ dengan arnab peliharaan abangnya yang disifatkannya sebagai haiwan manja setiap hari.

Menurutnya dia juga tidak keberatan untuk membantu abangnya menjaga arnab-arnab tersebut seperti memberi makan dan minuman selain membersihkan kandang setiap hari kerana minatnya terhadap haiwan peliharaan tersebut.

Sementara itu, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagi Hasmah,52, mengakui tidak sukar memelihara arnab hiasan adalah lebih mudah daripada yang dijangka.

“Saya sebenarnya baru empat bulan memelihara sepasang arnab hiasan dan berasa begitu teruja apabila arnab saya melahirkan seekor anak beberapa hari lalu.

“Pada peringkat awal saya terpaksa ‘mengajar’ ibunya menyusukan anak, namun selepas beberapa hari ibunya sudah boleh menyusukan sendiri anaknya dan saya tidak sabar mahu melihat anaknya besar,” katanya.

(Visited 5,310 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!