SEGAMAT – Bagi mengelakkan kontraktor yang dilantik oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) gagal menyiapkanRumah Mesra Rakyat (RMR) di kawasan Dun Buloh Kasap, satu kaedah telah diperkenalkan bagi memastikan masalah tersebut tidak berulang.
Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, langkah tersebut adalah dengan memperkenalkan setiap kontraktor yang dilantik untuk membina RMR dengan para pemohon yang berjaya dan ketua kampung itu sendiri.
“Ini kerana, saya sendiri banyak menerima rungutan dan aduan daripada para pemohon yang berjaya sebelum ini apabila ada kontraktor SPNB yang gagal menyiapkan RMR pada waktunya. Tambah mengecewakan, ada kontraktor yang lari dan senyap begitu sahaja.
“Jadi, pada kali ini, saya mengambil inisiatif untuk mengumpulkan 40 pemohon di sini bersama ketua-ketua kampung yang terlibat untuk mengenali sendiri dan bersemuka secara terus dengan kontraktor yang dilantik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Penyampaian Inden Program Rumah Mesra Rakyat Parlimen Segamat di Balairaya Taman Yayasan, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, ini juga merupakan satu kesempatan kepada para pemohon dan ketua kampung bagi mengambil sedikit maklumat berkenaan kontraktor terlibat seperti nombor telefon dan butiran syarikat sebagai rujukan di masa hadapan.
“Tujuannya supaya para pemohon tidak akan berterusan menjadi mangsa kerana ada kes sebelum ini geran rumah telah diambil dan bayaran bulanan telah dibuat bertahun-tahun tetapi rumah tidak juga siap malahan ada yang terus terbengkalai.
“Saya juga ingin mencadangkan kepada SPNB supaya tangguhkan dahulu permohonan RMR selepas ini dan beri tumpuan kepada kerja-kerja pembinaan yang tertangguh ini dan pada masa sama, berikan maklum balas kepada pemohon status permohonan mereka,” katanya.
Katanya, tempoh pembinaan bagi setiap rumah RMR yang mempunyai tiga buah bilik dan dua bilik air itu menelan kos sebanyak RM65,000 dan dijangka siap di antara tiga hingga enam minggu.
Comments