LABIS – Seramai 2,000 wanita daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah di daerah ini berjaya dibimbing menjadi usahawan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan nilai pembiayaan lebih RM18 juta sejak empat tahun lalu.
Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, apa yang lebih membanggakan adalah jumlah bayaran balik pembiayaan adalah seratus peratus sekaligus membuktikan kejayaan AIM membimbing usahawan yang dilahirkan.
“Selain pembiayaan modal untuk memulakan akitiviti meningkatkan pendapatan, faktor penting yang menentukan kejayaan sahabat AIM adalah bimbingan serta khidmat nasihat yang disediakan kepada semua sahabat secara adil.
“Bayaran balik wang pembiayaan adalah penting bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan berpeluang mendapat bantuan menikmati kemudahan tersebut dan keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Motivasi dan Anugerah Kecemerlangan Anak-Anak Ahli Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Segamat (KUSIS) di Dewan Majlis Daerah Labis (MDL), di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar sahabat AIM di daerah ini yang pernah mendapat pembiayaan daripada AIM agar mendaftar sebagai ahli KUSIS kerana banyak aktiviti berfaedah boleh dirancang melalui kelab tersebut.
Sementara itu, Pengurus AIM Cawangan Segamat, Shahrul Nizam Shamsudin berkata, setakat ini terdapat 42 pusat bimbingan sahabat AIM di seluruh daerah ini dan pihaknya merancang untuk menambah lima lagi pusat bimbingan menjelang akhir tahun ini.
“Sebenarnya AIM adalah Badan Amanah persendirian yang ditubuhkan pada tahun 1987 bertujuan mengurangkan kemiskinan dan menyediakan pembiayaan mikro kredit bagi mengkatkan pendapatan golongan miskin dan berpendapatan rendah.
“Malah, ramai yang tidak tahu bahawa AIM sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan semua sahabat melalui simpanan wajib dan tabung tabung kebajikan dan kesejahteraan yang diwujudkan bagi membantu sahabat yang dilanda musibah,” katanya.
Menurutnya, peniaga terlibat yang merupakan Sahabat AIM juga mesti mempunyai komitmen tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh tanpa jemu memajukan perniagaan masing-masing selain berusaha menambah modal dengan mempelbagaikan bidang yang diceburi.
Katanya, dengan bimbingan yang berterusan daripada pegawai dan kakitangan AIM, peniaga kecil tidak perlu bimbang tentang hala tuju bidang yang diceburi serta keupayaan untuk membayar balik pinjaman masing-masing.
Comments