POGOH – Pelbagai kaedah tradisional digunakan oleh masyarakat Melayu di kawasan kampung dan pedalaman untuk menangkap ikan di sungai seperti jala, jaring, pancing dan turut tidak terkecuali dengan memasang lukah atau bubu.
Lukah yang kebiasaannya mempunyai pelbagai saiz dan lazimnya berukuran satu meter ukur lilit dan satu setengah meter panjang mempunyai satu atau dua injap sebagai pintu masuk dan dibenamkan didasar sungai sebagai perangkap ikan.
Bagi Kastubi Sarden, 85, satu-satunya pembuat lukah di Kampung Pogoh Dua, di sini berkata, ketika ini amat sukar untuk mencari orang yang boleh membuat lukah berbanding dahulu kerana tidak ramai yang berminat untuk mempelajari ilmu tersebut.
“Kalau dahulu boleh dikatakan hampir semua nelayan sungai boleh membuat lukah sekurang-kurangnya untuk kegunaan sendiri,tetapi pada hari ini tidak ramai yang tahu bagaimana untuk membuat lukah.
“Mereka lebih suka membeli sahaja kerana kerja untuk membuat lukah agak rumit dan memakan masa selain memerlukan tumpuan ketelitian dan pak cik sendiri sudah berpengalaman lebih 50 tahun dalam membuat lukah,” katanya.
Menurutnya, proses membuat lukah bermula dengan mencari bahan asas seperti buluh,rotan atau akar di hutan dan kesemua bahan asas tersebut perlu dikeringkan terlebih dahulu selama seminggu sebelum kerja membuat boleh dilakukan bagi mengelakkan lukah mengecut.
Jelasnya, buluh yang digunakan adalah dari jenis Buluh Tilan sementara rotan pula ialah Rotan Batu, Rotan Semut, Rotan Sega Air, Rotan Getah serta Rotan Dahan selain kayu pokok Kelulang untuk dijadikan bingkai dan Akar Mengkiri sebagai pengikat.
Bagaimanapun, Kastubi lebih gemar menggunakan Akar Mengkiri dan Kayu Mengkulang sebagai pengikat serta bingkai lukah yang dibuatnya kerana lebih tahan lama berbanding menggunakan rotan ketika direndam di dalam sungai.
“Ikatan rotan lebih kemas berbanding menggunakan akar, namun saya lebih suka menggunakan akar kerana boleh bertahan sehingga setahun direndam berbanding hanya sekitar lima atau enam bulan menggunakan rotan.
“Kebanyakan pelanggan saya membeli lukah bukan untuk perhiasan tetapi untuk digunakan menangkap ikan,jadi saya lebih pentingkan ketahanannya dari kekemasan ikatannya,” katanya.
Menurutnya, buluh yang telah dikeringkan akan dipotong sepanjang satu setengah meter dan dibelah selebar satu sentimeter serta diraut untuk membuang sembilu sebelum boleh dijalin pada rotan atau kayu yang dibentuk gelung bulat sebagai bingkai.
Katanya, dia kini hanya mampu membuat sekitar 10 biji lukah sebulan yang akan dijual dengan harga RM80 hingga RM150 setiap satu bergantung pada saiznya berbanding kira-kira 20 biji ketika zaman mudanya.
Selain faktor usia, kesukaran mendapatkan bekalan buluh dan rotan juga menyebabkan dia tidak mampu membuat lukah dengan banyak dan tidak dapat memenuhi permintaan pelangannya yang ramai.
“Setakat ini ada pembeli yang datang dari negeri Perak dan Perlis mendapatkan lukah yang saya buat selain sekitar Johor,Negeri Sembilan dan Pahang. Saya bimbang selepas ini tiada pengganti sehingga menyebabkan pembuatan lukah tidak dapat diteruskan,” katanya lagi kepada Komuniti Facebook Segamat
Comments