LABIS – Selepas pelita raya bateri buatannya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai pada musim raya tahun lepas, seorang makanik di Pekan Air Panas menghasilkan panjut yang menggunakan kuasa bateri pula.
Juraimi Palal,48, berkata, dia mendapat ilham mencipta pelita raya bateri pada tahun lepas selepas mendapati suasana hari raya suram ekoran tidak ramai yang berminat menyalakan pelita di kawasan rumah ketika ini.
“Melalui pemerhatian saya, orang ramai terpaksa mengotorkan tangan ketika mengisi minyak dan menyalakan pelita setiap hari antara faktor mereka tidak berminat memasang pelita raya.
“Berbeza dengan pelita biasa yang menggunakan sumbu dan minyak, pelita dan punjut yang saya hasilkan hanya menggunakan bateri dan tidak terjejas walaupun ditimpa hujan,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, pada tahun ini dia telah menyediakan kira-kira 2,000 panjut bateri dan 3,000 pelita yang mula disiapkan sejak lapan bulan lalu.
Katanya, dia menjual satu set pelita beserta bateri dengan harga RM50 sementara satu set dua batang panjut beserta bateri dengan harga RM60 tidak termasuk wang pos.
Tambahnya, pelita dan panjut bateri yang dihasilkan jika dinyalakan selama 24 jam mampu bertahan sehingga 14 hari walaupun ditimpa hujan.
Juraimi berkata, jika pada musim raya tahun lepas dia berjaya menjual kira -kira 3,000 biji pelita, pada tahun ini dia berharap panjut ciptaannya mendapat sambutan daripada orang ramai.
“Setakat ini saya sudah membelanjakan hampir RM15,000 untuk menjayakan projek pelita bateri ini dan saya yakin mampu mengembangkan lagi usaha ini pada masa akan datang.
“Saya telah mula menerima tempahan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Serawak dan mujur saya sudah menyediakan stok lebih awal, jika tidak tentu tidak menang tangan,”katanya.
Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai pelita dan panjut bateri ini bolehlah melayari akaun facebook ‘Pelita Raya Bateri’ atau menghubungi Juraimi menerusi aplikasi Whats-Apps ditalian 017-7969020.
Comments