LABIS – Seramai 26 pelatih Pusat Latihan Pengajar Dan Kemahiran Lanjutan (Ciast) Melaka berkampung selama tiga hari dua malam di Kampung Orang Asli Tamok, di sini, bagi bertukar kemahiran dengan penduduk terutama golongan belia Orang Asli di kampung tersebut.
Pengarah Program, Abdul Qayyum Mahamod, 27, berkata, selain berpeluang memberi pendedahan bidang kemahiran kepada masyarakat Orang Asli, peserta yang juga bakal tenaga pengajar bidang kemahiran turut berpeluang mempelajari kemahiran masyarakat Orang Asli.
“Seperti mana yang kita sedia maklum, masyarakat Orang Asli kurang mendapat pendedahan dalam bidang pendidikan terutama berkaitan kemahiran menyebabkan mereka tidak merebut peluang untuk melanjutkan pengjian dalam bidang kemahiran.

“Kehadiran kami di sini sedikit sebanyak mampu memberi mereka pengetahuan mengenai hala tuju serta peluang yang terdapat dalam bidang kemahiran disamping cuba menarik minat mereka untuk menyertai bidang kemahiran,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Komuniti Pelajar Ciast bersama masyarakat Orang Asli Kampung Tamok dekat sini, baru-baru ini.
Menurutnya, sepanjang program tersebut berjalan, peserta akan dinilai dari pelbagai aspek kerana program merupakan salah satu modul wajib pengajian yang perlu dilaksanakan oleh semua pelajar.
Bagi Siti Khadijah Shamshudin, 27, berkata, ini merupakan kali pertama dia berpeluang mendekati masyarakat Orang Asli dan kesempatan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk menyalurkan ilmu dalam bidang seni kunilari yang dimilikinya.
“Saya dan rakan-rakan lain berasa teruja untuk mencurahkan ilmu apabila mendapati masyarakat Orang Asli di sini tidak mengira usia menunjukkan minat untuk mempelajari ilmu kemahiran yang kami sampaikan seperti seni ukiran buah.
“Saya berharap ilmu yang disampaikan akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat Orang Asli di kampung ini untuk mempelbagaikan lagi kemahiran mereka bagi menjana pendapatan kelak,” katanya.
Bagi Noor Azwan Noor Azmi, 25, berkata, apa yang lebih menarik, mereka turut diajar selok belok untuk meredah hutan serta mengenalpasti tumbuhan yang boleh digunakan sebagai makanan yang amat berguna sekiranya tersesat di dalam hutan.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Segamat, Mohd Yazid Beram berkata, beliau mengalu-alukan kedatangan mahasiswa untuk melakukan aktiviti-aktivi kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di perkampungan Orang Asli di daerah ini.
“Program seperti ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan bidang pendidikan dan kedatangan mereka ini (pelatih Ciast) tepat pada masanya,” katanya.
Comments