LABIS – Seorang pelajar Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2), di sini, maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 8 Jalan Kolam Air Panas-Labis, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Mohd Amirul Hakim Zulkeflee, 18, yang beralamat di Felda Kemelah, di sini, maut serta merta ditempat kejadian.
“Ketika kejadian, motosikal yang ditunggang oleh mangsa sedang dalam perjalanan dari Pekan Labis ke Pekan Air Panas sebelum motosikalnya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sewaktu tiba di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian telah melanggar bahagian hadapan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berumur 28 tahun sebelum terjatuh ke bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, mangsa yang merupakan pelajar Sijil Teknologi Senibina di KKS2 kemudian dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan.
Katanya, pemandu kereta tersebut yang tinggal di Pekan Air Panas, di sini, juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian air kencing juga turut dijalankan bagi memastikan tiada pengambilan unsur-unsur barang terlarang.
“Kemalangan berlaku di kawasan selekoh dan mempunyai garisan putih berkembar di tengah jalan sebagai tanda pemisah jalan dan kejadian berlaku pada waktu petang serta keadaan jalan yang basah dan hujan renyai-renyai.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saya meminta pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutamanya di sepanjang musim perayaan ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya
Comments