LABIS – Seorang pegawai tadbir di sebuah agensi kerajaan di daerah kecil Labis, di sini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan dirinya.
Menurut sumber SPRM, pegawai tersebut yang berumur 44 tahun itu ditahan berhubung kes mengambil rasuah daripada kontraktor yang bernilai kira-kira RM14,000 berkaitan dengan peruntukan projek bernilai RM5 juta di sekitar Labis.
“Kita sudah menjalankan siasatan selama dua bulan sebelum menahan pegawai tersebut di pejabatnya kira-kira pukul 3.20 petang hari ini (semalam) dan beliau juga memberikan kerjasama baik ketika ditahan.
“Beliau juga meminta masa untuk menunaikan solat Zuhur sebelum dibawa ke pejabat cawangan SPRM Segamat untuk ditahan reman dan kami sedang menunggu tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, tiada sebarang dokumen atau harta miliknya yang dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Comments