SEGAMAT – Seorang nenek di Jalan Pemuda, di sini, tabah membesarkan lima cucunya selepas ibu kanak-kanak malang tersebut menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan sejak dua tahun lalu.

P Saraswathy, 51, berkata, segalanya bermula selepas anak sulungnya, S Suresh meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2014 dan pada awalnya lima cucunya itu dijaga oleh menantunya, P Puvaneswary, 30.

“Ketika itu dia (menantu) tinggal menyewa di Taman Yayasan, di sini, dan selepas berkenalan dengan seorang lelaki tidak beberapa lama kemudian, dia membawa kesemua cucu saya berpindah ke Segamat Baru.

“Saya kemudian terputus hubungan dengan menantu dan cucu-cucu saya dan mendapat tahu mereka berpindah selepas salah seorang saudara terdekat mengadu cucu-cucu saya berkeliaran di taman perumahan sambil meminta makanan,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, dia kemudian segera ke kawasan perumahan tersebut dan terkilan apabila mendapat tahu empat cucunya itu dibiarkan kelaparan manakala seorang lagi cucunya sudah diserahkan kepada sebuah keluarga di Labis.

Katanya, dia kemudian nekad untuk mengambil dan menjaga cucu-cucunya itu yang berumur di antara lima hingga 10 tahun dan berjaya mengesan salah seorang cucunya yang di Labis selepas mendesak menantunya itu dengan mengugut untuk membuat laporan polis.

P Puvaneswary

“Selepas itu dia (menantu) terus menghilangkan diri dan keluarganya di Klang, Selangor juga tidak tahu di mana anaknya itu dan sehingga kini, saya sudah dua tahun menjaga lima cucu saya selain mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

“Dengan pendapatan saya yang tidak seberapa sebagai pekerja pembersihan, saya terpaksa mengikat perut untuk menyara dua anak dan dua cucu yang masih bersekolah selain tinggal di rumah sewa,” katanya.

Menurutnya, dia juga terpaksa menangguhkan hasrat cucu ketiganya, S Jegathiswaran, 7, untuk memulakan persekolahan pada tahun ini selepas dia tidak mempunyai sijil kelahiran seperti adik beradiknya yang lain.

Katanya, dia juga sudah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Segamat namun hasil semakan tidak menemui rekod pendaftaran cucunya itu selain tidak mempunyai dokumen peribadi yang lain.

“Saya sudah puas mencari menantu saya untuk bertanyakan mengenai sijil kelahiran Jegathiswaran namun tidak berjaya dan ini menyukarkan saya untuk mendaftarkannya ke sekolah dan urusan-urusan lain.

“Saya sebelum ini pernah mendaftarkan dia (Jegathiswaran) ke sekolah namun ditolak kerana ketiadaan sijil kelahiran dan setiap hari juga dia bertanya pada saya bila dia boleh bersekolah dan ini amat menyedihkan saya,” katanya.

Menurutnya, dia yang menghidap penyakit jantung juga turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 0105443902.

(Visited 318 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!