LABIS – Ramai yang tidak menyedari tanaman nanas jika diuasahakan dengan betul mampu memberi pulangan yang lumayan kerana permintaan serta harga pasaran hasil pertanian tersebut lebih stabil berbanding tanaman lain seperti getah dan kelapa sawit.
Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Wilayah Selatan, Norazman Mohd Yusuf berkata, pengeluaran tanaman nanas boleh mencecah sehingga 50 tan sehektar dengan harga jualan sekitar RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap tan.
“Persepsi masyarakat kononnya tanaman nanas hanya sesuai untuk tanah gambut serta tempoh penuaian sehingga 14 bulan merupakan cabaran terbesar yang menghalang nanas ditanam secara lebih meluas di negeri Johor yang merupakan pengeluar utama nanas negara ketika ini.
“Sebenarnya nanas boleh ditanam tanpa mengira jenis tanah, malah buah nanas yang ditanam di kawasan berbukit adalah lebih manis berbanding yang ditanam di kawasan tanah gambut yang mempunyai kandungan asid yang lebih banyak,” katanya ketika ditemui di Mini Agro Johor di Dataran Labis, malam kelmarin.
Menurutnya, penduduk di daerah ini digalakkan untuk merebut pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan untuk menceburkan diri dalam penanaman nanas kerana tanah di sini adalah sesuai untuk tanaman nanas dan boleh memberi pulangan lumayan.
Katanya, antara galakan yang disediakan oleh LPNM adalah Projek Pengukuhan Tanaman yang menyediakan bantuan sebanyak RM5,500 dalam bentuk input pertanian seperti baja bagi setiap hektar tanaman nanas yang diusahakan oleh petani.
“Selain harga pasaran serta permintaan yang sentiasa tinggi, antara kelebihan lain hasil tanaman ini adalah tidak bermusim dan boleh dirancang pengeluarannya melalui tanaman mengikut plot terancang.
“Walaupun tempoh tuaian nanas adalah 14 bulan dari tarikh ditanam, namun tanaman secara terancang mengikut plot dengan tempoh tanaman yang berbeza mampu menghasilkan tuaian sepanjang tahun sekaligus menyelesaikan masalah tempoh tuaian yang lama kepada petani,” katanya.
Menurutnya, setakat ini keluasan tanaman nanas bagi negeri Johor adalah 800 hektar dengan penghasilan lebih 400 tan setahun dan berharap penyertaan petani di Segamat dalam masa terdekat mampu memenuhi permintaan yang tinggi terhadap nanas ketika ini.
Comments