SEGAMAT – Spesies ikan lais tidak seperti ikan baung, patin, kelah dan toman yang boleh dipancing pada bila-bila masa asalkan kena pada lubuknya, sebaliknya pemburuan ikan lais adalah bermusim.
Ini kerana, musim memancing ikan lais ini hanya datang antara dua atau tiga tahun sekali bergantung kepada keadaan air sungai dan musim banjir dan sememangnya musim ini sangat dinantikan terutamanya oleh kaki pancing.
Salah seorang pemburu ikan lais daripada Labis, Hamdan Ali, 51, berkata, keseronokkan memancing ikan lais ini sukar digambarkan berbanding memancing ikan lain walaupun saiz ikan lais lebih kecil berbanding spesis ikan baung ,keli dan patin.
Menurutnya, spesies ikan ini suka bermain kira-kira satu kaki hingga dua kaki dari permukaan air kerana tabiatnya yang suka mencari makanan dengan cara menyambar serangga yang dihanyutkan arus dari hulu sungai.
“Kerana tabiatnya yang suka berenang di bahagian permukaan sungai, kaedah terbaik memancing lais adalah menggunakan cara memepas (casting) menggunakan umpan cengkerik atau anak kerengga.
“Namun, kaedah memancing dasar atau menggunakan pelampung juga boleh digunakan untuk memburu lais bergantung kepada kesesuaian sungai dan keselesaan pemancing itu sendiri,” katanya kepada Komuniti FB Segamat.
Menurutnya, ikan lais juga turut dikenali sebagai ‘tapah bemban’ di sesetengah tempat dan lazimnya spesies ikan ini akan menghuni di bahagian paling hilir sungai ketika air pasang surut dan akan mudik ke hulu sungai ketika musim banjir sebelum memasuki anak sungai.
Ikan ini juga berenang secara berkumpulan dan menghuni lubuk yang dipenuhi kayu dengan arus sederhana untuk mencari makanan seperti serangga yang hanyut dari hulu sungai.
Hamdan juga tidak melepaskan peluang memancing lais setiap kali musim memancing lais tiba di sungai dan anak-anak sungai sekitar Bukit Kepong, Lenga dan Pogoh di Segamat.
“Saya lebih suka memancing lais pada waktu malam kerana waktu waktu lais tidak berapa aktif mencari makanan berbanding pada malam selain saiz yang diperolehi lebih besar pada waktu malam.
“Selalunya hasil tangkapan lebih banyak sekiranya memancing pada waktu malam dan petua memancing lais pemancing perlu mengelakkan membuat bising serta menyuluh ke arah air sungai kerana ikan lais terlalu liar dan sensitif terutama pada sebarang kocakan air,” katanya.
Berbeza dengan rakannya, Razman Kaimi, 39, dia lebih suka memancing lais dengan menaiki perahu kerana baginya lebih mudah untuk meneroka lubuk yang tidak boleh dijejaki melalui tebing sungai.
“Saya akan mudik ke hulu sungai dahulu dan membiarkan perahu hanyut mengikut arus sambil memancing bagi mengelakkan bunyi bising dan kocakan air yang boleh menakutkan ikan.
“Waktu terbaik memancing lais pada lewat petang dan malam kerana pada waktu itu cuaca semakin sejuk dan ikan lais mula keluar dari tempat persembunyian untuk mencari makan secara berkumpulan.” katanya.
Menurutnya, berbanding 10 tahun dahulu, jumlah tangkapan lais ini semakin berkurangan dan saiz ikan ini juga semakin mengecil berikutan semakin ramai yang menggunakan jaring untuk menangkap ikan tersebut sehingga membuatkan spesies berkenaan semakin berkurangan dan liar.
Harga pasaran bagi ikan lais ini bergantung kepada saiznya dan kadang kala boleh mencecah sehingga RM30 sekilogram jika saiznya besar sementara bagi yang bersaiz kecil dan sederhana sekitar RM20 hingga RM25 sekilogram.
Comments