SEGAMAT – Seorang saudara baru di Bukit Siput, di sini, kehilangan hampir keseluruhan daripada sumber pendapatannya sebagai tukang kasut apabila terpaksa menjaga isterinya yang menghidap pelbagai komplikasi penyakit.

Muzzafar Abdullah, 46, berkata, isterinya Maisarah Abdullah, 44, yang juga seorang mualaf menghidap penyakit kencing manis sehingga terpaksa disuntik insulin sebanyak empat kali sehari selain penyakit darah tinggi.

Muzaffar (kanan) dan isterinya (duduk) sewaktu menerima kunjungan wakil Badan Kebajikan Saudara Kita (BKSK) di rumahnya
Muzaffar (kanan) dan isterinya (duduk) sewaktu menerima kunjungan wakil Badan Kebajikan Saudara Kita (BKSK) di rumahnya

“Bagaimanapun, ketika dia sedang mengemas rumah pada bulan Julai tahun lalu, secara tiba-tiba hidung, mulut dan air kencingnya mengeluarkan darah dan saya segeranya membawanya ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk menerima rawatan lanjut.

“Dia kemudian ditahan selama tiga hari di dalam wad dan doktor juga belum berjaya mengesan dan mengesahkan penyakitnya walaupun tiap-tiap bulan saya berulang-alik membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, penyakit isterinya juga semakin serius apabila dia tidak boleh berdiri terlalu lama dan melakukan sebarang pekerjaan selain perutnya juga akan kelihatan mengembung sekiranya makan dan minum terlalu banyak.

Katanya, pada 23 Februari lalu, doktor melakukan ujian colonscopy di HDS dengan memasukkan kamera melalui mulutnya untuk melihat keadaan usus isterinya dan mengesan keganjilan apabila terdapat beberapa ketulan pada usus isterinya.

“Doktor juga belum berani untuk mengesahkan penyakit isteri saya dan meminta dia untuk datang semula menjalani ujian colonscopy kali kedua pada 6 Mac ini dengan memasukkan kamera melalui bahagian kemaluannya pula.

“Apa yang diberitahu kepada saya, hati isteri saya sudah dijangkiti kuman dan kuman tersebut sudah merebak ke bahagian ususnya sehingga mengakibatkan usus dia bocor dan berketul namun doktor belum mengesahkan sama ada ianya kanser atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, pendapatannya sebagai tukang kasut juga terjejas selepas hampir dua bulan tidak membuka kedai selain terpaksa mengharapkan bantuan bulanan sebanyak RM300 masing-masing daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.

Katanya, disebabkan kesempitan wang, sewa rumah dan bil-bil utiliti di rumahnya juga sudah empat bulan tertunggak sehingga meminta salah seorang rakannya di Kampung Jawa, di sini, untuk menjaga anak tunggalnya, Muaz Muzaffar, 5, sejak dua minggu lalu.

“Dengan keadaan isteri yang sakit, kehidupan saya seolah-olah menjadi huru-hara apabila ada yang mendakwa isteri saya berpura-pura sakit semata-mata untuk meraih simpati dan bantuan daripada masyarakat sekeliling.

“Selain perlu disuntik insulin setiap hari, isteri saya perlu memakan 12 biji pil setiap hari dan harapan saya sekarang adalah untuk mengetahui jenis penyakit isteri saya melalui ujian yang akan dilakukan nanti,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Muzaffar bernombor 162393798201 atau menghubunginya melalui talian 0149119606.

(Visited 849 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!