LABIS – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan dapat mengurangkan sekitar 30 peratus hasil import jagung bijian untuk makanan haiwan ternakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Chek berkata, sasaran tersebut mampu dicapai jika usaha memperluaskan tanaman jagung bijian yang kini kurang daripada 1,000 hektar dapat dilakukan melalui usaha yang dijalankan ketika ini.

“Selain memperluaskan tanaman jagung bijian, penemuan baharu penggunaan karnel kelapa sawit yang boleh dicampur dengan jagung sebagai makanan ternakan juga mampu mengurangkan kebergantungan import jagung bijian dari luar negara.

“Kejayaan menggunakan karnel kelapa sawit sebagai campuran dengan jagung sebagai makanan ternakan yang sudah dimulakan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ketika ini mampu membantu mengurangkan import jagung sekitar 60 peratus pada tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penuaian Jagung Bijian Pertubuhan Peladang di Zon Pengeluaran Makanan Felda Chemplak, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed; Pengerusi Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib dan Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.

Menurutnya, tahun ini merupakan tahun memecah blok pemikiran petani yang beranggapan jagung bijian tidak sesuai ditanam di negara ini dan usaha tersebut telah pun berjaya melalui kejayaan projek tanaman yang sudah dijalankan di beberapa negeri.

Pada masa sama, usaha memperluaskan tanaman jagung ini juga merupakan salah satu pelan keselamatan makanan negara bagi memastikan Maaysia mampu mengeluarkan makanan ayam untuk kegunaan dalam negara tampa bergantung kepada import bekalan makanan haiwan ternakan tersebut.

“Kita sering memperkatakan bekalan ayam yang mencukupi sedangkan dalam masa sama kita tidak harus melupakan mengenai makanan ayam yang kini kita import sepenuhnya sehingga mencecah RM3.2 billion setahun.

“Kita juga harus melihat ini merupakan peluang kekayaan baharu yang akan berlegar di dalam negara berbanding pengaliran ke luar negara dan setakat ini Sarawak, Terengganu dan Johor agak terkehadapan dalam merebut peluang ini,” katanya.

(Visited 343 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!