SEGAMAT – Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB) dan Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC) akan pergi ke setiap parlimen di negeri ini melalui Misi Jejak Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) yang bermula 21 Mac lalu.
Pengurus Besar PUJB, Hahasrin Hashim berkata, Misi Jejak PKS ini juga merupakan salah satu strategi kerajaan negeri untuk mendekati usahawan-usahawan di negeri Johor terutamanya usahawan baharu.
“Parlimen Segamat merupakan parlimen kedua selepas Parlimen Mersing dan kita akan pergi ke setiap 26 parlimen dengan kerjasama Pejabat Daerah, pemimpin-peminpin tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Selain itu, kami juga akan membawa pelbagai agensi berkaitan seperti SME Corp, Pejabat Pertanian, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan Dana Waqaf Johor Corporation (JCorp),” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa Misi Jejak PKS Parlimen Segamat di Idamanshah Creative Enterprise di Felda Palong Timur 3, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, beliau turut menyasarkan enam usahawan daripada setiap parlimen atau 156 usahawan daripada 26 parlimen untuk dibantu mengikut keperluan dan kesesuaian yang telah dikenalpasti sama ada bantuan kewangan, peralatan atau kursus-kursus bimbingan.
“Dalam lawatan ini, setiap agensi yang bersama saya akan melihat usahawan-usahawan ini dari setiap sudut termasuk kedudukan kewangan mereka dan usahawan ini juga boleh meminta nasihat secara terus daripada pegawai yang hadir.
“Selain itu, setiap usahawan yang dipilih juga akan menerima promosi berbentuk video secara percuma agar mereka lebih mudah menarik minat pembeli terutamanya usahawan yang memasarkan produk mereka secara atas talian,” katanya.
Pada masa sama, EDC bersedia memainkan peranan mereka untuk melahirkan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 usahawan digital seperti yang disarankan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini.
Menurutnya, penduduk negeri ini yang mempunyai kemahiran digital dan yakin mengubah kehidupan manusia melalui aplikasi digital juga disarankan untuk memohon program inkubator usahawan digital ini.
“Setiap peserta juga akan melalui beberapa saringan kerana kita mahu mereka yang layak sahaja menyertai program ini kerana usahawan digital ini menelan kos yang besar,” katanya.
Comments