Cerita mengenai Bendahara Tepok atau juga dikenali sebagai Bendahara Lubok Batu tidak asing lagi bagi warga Segamat namun misteri cerita dan mitos sentiasa menjadi bualan sehingga kini.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa meriam yang dijumpai pada tahun 80an di bawah tapak Masjid Makam Lubok Batu kini dijaga dan disimpan rapi oleh pihak Muzium Melaka. Apabila kita menceritakan tentang meriam keramat tersebut secara tidak langsung hal ini berkaitan tentang sejarah Masjid Makam Lubok Batu dan kisah sejarah Bendahara Tepok.

Meriam Keramat yang dipamerkan di Muzium Stadthuys, Melaka. | Gambar oleh Kahirul Faizee.
Meriam Keramat yang dipamerkan di Muzium Stadthuys, Melaka. | Gambar oleh Kahirul Faizee.

Masjid Makam Lubok Batu ini asalnya adalah pondok singgah untuk berteduh dan berehat bagi penziarah makam tersebut. Penduduk kampung mempercayai pondok itu didirikan oleh pengikut-pengikut Bendahara Tepok. Sebelum tahun 1918 orang-orang luar yang menyusur atau memudik sungai Segamat akan bersolat di Masjid Tebing Sungai di Pengkalan Esah. 

Sebagaimana yang diceritakan oleh Allahyarham Tuan Haji Yahya Bin Kubu, Ahli Pakar Sejarah Tempatan, bahawa Tuan Haji Ibrahim Bin Kindang, Imam Masjid Teluk Belanga telah balik sementara ke Kampung Lubok Batu lalu mencadangkan supaya dibina sebuah surau untuk penduduk Kampung Lubok Batu dan dengan terbinanya surau itu Tuan Haji Dasil bin Mahmud telah dilantik menjadi Imamnya manakala bilal disandang oleh A. Bakar Bin Sudin.

Sekitar tahun 20an Sungai Segamat masih menjadi laluan penting bagi orang-orang luar datang ke Segamat. Secara tidak langsung aktiviti-aktiviti perniagaan telah bertambah pesat kerana wujudnya “Pasar Tepi Sungai” di Pengkalan Lubok Batu. Kemudian surau itu dijadikan sebagai wakaf oleh Sultan Ibrahim dan tiada sesiapa yang berani merobohkan surau tersebut kerana surau itu dijaga oleh Istana Johor.

Keadaan Masjid Makam Lubok Batu pada tahun 1995. Bekas laluan Jalan Segamat-Muar yang lama. | Gambar Oleh: Tuan Haji Abd Latip bin Haji Idris
Keadaan Masjid Makam Lubok Batu pada tahun 1995. Bekas laluan Jalan Segamat-Muar yang lama. | Gambar Oleh: Tuan Haji Abd Latip bin Haji Idris

Pada tahun 1928 atas usaha Mohd Tap, Pegawai Daerah Segamat ketika itu telah membina sebuah surau baru dari binaan batu yang pelan tapak dan reka bentuknya diambil dari Kota Tinggi setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Ibrahim Al-Marhum Sultan Johor .

Semasa pengubahsuaian surau tersebut jemaah surau telah menemui sebuah meriam lama yang diperbuat daripada batu berukuran empat kaki panjang yang tertanam dibawah mimbar masjid serta peluru-peluru diperbuat daripada batu (buat masa ini penulis masih tidak ketahui dimana simpannya meriam yang dijumpai pada tahun 1930) . Hal ini menyebabkan wujudnya mitos meriam keramat tersebut oleh orang-orang kampung.

Sebelum meriam itu dijumpai, cerita-cerita mengenai meriam keramat tersebut sudah lama jadi bualan cerita rakyat daerah Segamat khususnya penduduk Kampung Lubok Batu. Ini kerana pada tahun 1926 banjir besar telah melanda daerah Segamat yang dikenali sebagai Bah Merah 1926.

Banjir itu telah menyebabkan harta benda dan nyawa terkorban. Sungai Segamat menjadi lengang dan tidak berfungsi lagi sebagai laluan orang-orang luar datang ke Segamat. Kata sesetengah orang-orang tua, terdapat beberapa petanda sebelum berlakunya banjir besar itu antaranya orang-orang kampung akan terdengar bunyi tembakan meriam tiga hari berturut-turut pada waktu Asar (kononnya bunyi meriam keramat).

Meriam yang dijumpai di Masjid Lubok Batu pada bulan Mac 1979 | Gambar oleh: Media Prima
Meriam yang dijumpai di Masjid Lubok Batu pada bulan Mac 1979 | Gambar oleh: Media Prima

Pada tahun 1943 dalam pemerintahan Jepun surau tersebut dinaiktaraf kepada masjid. Perasmian menaiktaraf surau kepada masjid itu dilakukan oleh Tuan Syed Ahmad Bin Syed Abdullah Al-Habshee, Kadi Daerah Segamat. Pegawai-pegawai pula telah bertukar dan digantikan oleh Tuan Haji Ibrahim Bin Kindang sebagai Imam manakala Tuan Haji Abdul Samad bin Haji Karim sebagai bilal. Ketika perasmian itulah nama masjid itu diberi nama dengan Masjid Makam Lubok Batu.

Pada bulan Mac 1977 YB Dato’ Haji Ahmad Bin Arshad didalam ucapannya sebagai Pengerusi Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Gemereh, telah memohon dana bagi peruntukan membangunkan semula Masjid Makam Lubok Batu kerana penduduk Kampung Lubok Batu telah bertambah ramai dan masjid tersebut tidak dapat lagi menampung jemaah sedia ada.

Permohonan beliau telah dipersetujui oleh YAB Dato’ Haji Othman Bin Saat, Menteri Besar Johor pada ketika itu dalam ucapan balasnya pada hari perasmian Sambutan Jubli Emas sekolah tersebut.

Pada awal tahun 1980 masjid lama dirobohkan dan dibina bangunan masjid yang baharu. Sekali lagi berita mengenai meriam keramat tersebut menggemparkan dan mengejutkan penduduk Kampung Lubok Batu setelah hampir 50 tahun berlalu mitos meriam lama dijumpai.

Peringkat awalnya meriam pertama ditemui pada bulan Mac 1979. Setelah hampir keseluruhan masjid telah dirobohkan ahli jemaah masjid menjumpai lagi sebuah meriam pada bulan Disember 1981. Meriam tersebut dipercayai sebahagian daripada senjata Bendahara Tepok serta pengikut-pengikutnya ketika menentang Portugis.

Sejak puluhan tahun lagi penduduk Kampung Berata, Jalan Temenggong, Kampung Paya Dalam dan Taman Bendahara seringkali mendengar bunyi meriam berdentum sebelum turunnya hujan lebat dan banjir. Hampir keseluruhan penduduk telah mendengar tembakan meriam keramat tersebut yang dahulu dipercayai mitos semata-mata kini menjadi bualan cerita benar rakyat daerah Segamat

Tuan Imam Hj. Zakaria Yaacob, 81. Penduduk yang sudah lama menetap di Kg. Alai, Gemereh.
Tuan Imam Haji Zakaria Yaacob, 81. Penduduk yang sudah lama menetap di Kg. Alai, Gemereh.

Temu bual penulis bersama bekas Imam Masjid Jamek Gemereh, Tuan Haji Zakaria Bin Yaacob. Masih segar dalam ingatan beliau menceritakan ketika usia kanak-kanak sekitar tahun 1939 beliau melihat pasir yang memutih dan keindahan jernih air sungai Segamat disekitar masjid tersebut.

Pada ketika itu jelas batu gajah yang dipercayai menjadi tempat beradu dan bersiram Bendahara Tepok. Penambakan dan pengukuhan tebing sungai dan jalan raya yang hampir sama paras bahagian bumbung masjid tersebut menyebabkan batu gajah itu telah tertimbus ke dalam tanah.

Selain itu, terdapat juga meriam lama yang turut ditemui sekitar tahun 1980an semasa pengubahsuaian masjid lama dan menurut cerita daripada sumber yang boleh dipercayai meriam itu tertanam sejak begitu lama selepas Perang Jementah yang berakhir pada tahun 1879.

Mengikut cerita, Kampung Lubok Batu adalah persinggahan orang-orang yang sama-sama berperang pada masa itu. Ada kemungkinannya salah seorang yang mengusung meriam itu telah berkahwin dengan orang Kampung Lubok Batu, iaitu keluarga Wan Ambak.

Namun tidak dapat dipastikan kerana anak cucu dan cicit mahu pun piot Wan Ambak tidak mengetahuinya cerita sebenar dan orang yang tahu akan ceritanya juga sudah meninggal seperti Mak Ngah Sa’odah serta keluarganya, Tok Hitam, Haji Sirat dan ramai lagi.

“Mereka semua telah meninggalkan kita semua sebelum kita sempat mengetahui akan sejarahnya dan semasa hayat mereka hidup kita hanya menganggap cerita itu sebagai misteri dan mitos sahaja.” Kata Tuan Azahan Saad, salah seorang penduduk yang sudah lama menetap di Kampung Lubok Batu, Segamat.

Meriam yang dipercayai milik Bendahara Tepuk ditemui pada bulan Disember 1981 | Gambar oleh: Media Prima
Meriam yang dipercayai milik Bendahara Tepuk ditemui pada bulan Disember 1981 | Gambar oleh: Media Prima

Pada akhir tahun 1983 bangunan masjid ini telah siap dibina. Kemudian bulan November 1984 bersamaan bulan Safar, 1405, Masjid Makam Lubok Batu dibuka dengan rasminya oleh YAB Menteri Besar Johor.

Ulamak Sheikh al-Muqari’ Haji Hassan bin Ismail Al-Hafiz merupakan kadi pertama Segamat telah mengimarahkan Masjid Makam Lubok Batu dengan mengajar Al-Quran dan agama Islam.

Beliau merupakan guru kepada Imam Besar Masjid Negara iaitu Sheikh Ismail bin Mohamad al-Hafiz dan juga guru kepada Ustaz Abu Hassan Din al-Hafiz.

Pada masa kini Masjid Makam Lubok Batu masih memerlukan dana untuk peruntukan memperbesarkan lagi bangunan masjid tersebut kerana populasi penduduk yang semakin hari semakin meningkat serta memerlukan ruang yang lebih luas dan selesa bagi ahli Jemaah yang ingin bersolat.

Selain daripada itu, Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Segamat telah merasmikan Perletakan Batu Asas Makam Al-Marhum Bendahara Lubok Batu Segamat bertujuan menimbulkan kaitannya Sejarah Masjid dan Makam Al-Marhum Bendahara Lubok Batu.

Mudah-mudahan dengan terpapar cerita-cerita ini dapat dijadikan sebagai panduan untuk membongkar sejarah Segamat yang terpendam selama ini.

Nota : Mohon maaf sekiranya terdapat kesilapan maklumat yang disampaikan oleh penulis. Sebarang pembetulan boleh dimaklumkan kepada penulis melalui email admin_support@segamat.com.my

(Visited 5,733 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!