LABIS – Berpegang kepada prinsip setiap hari yang dilalui adalah hari untuk belajar dan tidak kedekut ilmu banyak mempengaruhi sifatnya menjadi seorang insan berdisplin sehingga terpilih sebagai Tokoh Guru Daerah Segamat tahun 2017.
Md Kasim Md Noah,60, berkata, tugas sebagai pendidik memerlukan pengorbanan dan displin tinggi kerana golongan pendidik merupakan individu yang membentuk dan melahirkan insan sempurna.
“Jika pelajar itu boleh diumpamakan sebatang pohon, maka gurulah yang bertanggungjawab untuk menjaganya seperti menyiram dan membaja sehingga tumbuh menjadi pohon rendang yang mampu berbuah lebat.
“Namun jika kita sebagai guru tidak ikhlas dengan tugas yang diberikan tidak mungkin pohon itu mampu hidup subur dan berbuah lebat,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah Tokoh Guru Daerah Segamat 2017 sempena Sambutan Hari Guru peringkat daerah Segamat di Dewan Majlis Daerah Labis baru-baru ini.
Menurut bapa kepada lima orang anak yang kesemuanya berjaya ke menara gading ini, hari yang paling indah buatnya sepanjang bergelar pendidik adalah hadir ke sekolah yang disifatkannya bukan sahaja untuk mengajar sebaliknya dalam masa sama turut belajar tentang kehidupan.
Katanya, dia mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam pada tahun 1969 sebelum ke Sekolah Menengah Batu Anam di peringkat sekolah menengah.
Kemudian pada tahun 1973 beliau belajar di Sekolah Menengah Datuk Bentara Dalam sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Saya mula mengajar pada tahun 1980 di SMK Tun Mamat, Tangkak dan kemudian ditugaskan di Pejabat Pelajaran Daerah Muar pada tahun 1990 sebelum ditukarkan ke Pejabat Pendidikan Negeri Johor pada tahun 1994.
“Saya mengambil keputusan untuk bersara awal tiga tahun lalu dan jawatan terakhir saya adalah Timbalan Pengarah Bahagian Asrama Penuh dan Sekolah Cemerlang di Putrajaya,” katanya.
Menurut suami kepada Junaidah Abdul Jalil itu, guru ketika ini berdepan cabaran yang yang kuat untuk bergerak pantas selari dengan kepantasan dunia teknologi berbanding zamannya menjadi guru.
“Saya nasihatkan guru ketika ini agar sentiasa ikhlas dalam menjalankan tugas dan jangan sesekali mengamalkan sikap pilih kasih atau kedekut ilmu.
“Selain itu, kita hadir ke sekolah bukan sekadar untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar, sebaliknya dalam masa yang sama kita boleh belajar dari mereka dan warga sekolah lain tentang kehidupan,” katanya.
Comments