SEGAMAT – Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tujuh remaja yang merupakan suspek utama kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, baru-baru ini, yang melibatkan 23 nyawa terkorban.

Presidennya, Manndzri Nasib berkata, sekiranya hasil siasatan polis mendapati kesemua suspek ini terlibat secara langsung, tindakan undang-undang juga perlu diambil mengikut akta dan peruntukan yang sedia ada.

“Saya melihat tindakan ini merupakan satu tindakan di luar norma manusia biasa yang tidak mempunyai sifat perikemanusiaan dan tambah memeranjatkan, ianya dilakukan oleh remaja yang berumur di Antara 11 hingga 18 tahun.

“Walaupun terdapat keluarga mangsa yang sudi memaafkan mereka (suspek), apa yang diperlukan adalah pencegahan kerana kita tidak sanggup melihat tragedi seperti ini berulang,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, beliau tidak mahu menyalahkan sepenuhnya ibu bapa terhadap kejadian yang berlaku namun berpendapat tindakan undang-undang secara ketat perlu dilaksanakan untuk jangka masa panjang termasuk perintah berkurung terhadap remaja bermasalah.

Katanya, beliau juga berpendapat remaja atau belia yang mempunyai masalah tidak seharusnya dibiarkan bergerak bebas dan sudah masanya penguatkuasaan undang-undang itu dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita tidak mahu golongan remaja yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang akan ‘rosak’ sekiranya tiada usaha untuk merawat segala permasalahan yang berlaku ini.

“Tahniah juga kepada pihak polis di atas kecekapan mereka mengendalikan kes ini sehingga tertangkapnya suspek dan MBNJ tidak mahu melihat si pelaku terlepas walaupun mereka dikategorikan sebagai juvana,” katanya.

Sabtu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan kebakaran pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jumaat lalu, merupakan perbuatan khianat selepas penahanan tujuh remaja lelaki berusia 11 hingga 18 tahun.

Menurutnya, enam daripada suspek juga positif dadah dan punca remaja terbabit melakukan perbuatan khianat itu adalah disebabkan perbuatan ejek mengejek antara suspek-suspek dan pelajar pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

(Visited 224 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!