SEGAMAT – Program Community In River (Coir) merupakan cabaran baharu golongan belia di negeri ini untuk menggunakan segala kreativiti dan idea mereka dalam memelihara serta memulihara sungai-sungai yang ada di negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cabaran tersebut juga merupakan hasrat kerajaan negeri untuk menanamkan perasaan cinta terhadap alam sekitar termasuk sungai dan bukannya untuk memindahkan tanggunjgawab.

“Dalam keadaan negeri sedang pesat membangun, kita tidak hanya memberi perhatian kepada pembangunan fizikal sahaja tetapi soal alam sekitar turut diberi perhatian termasuk aspek pemuliharaan dan pemeliharaan sungai-sungai yang ada di negeri ini.

“Amat malang juga apabila 10 sungai yang tercemar di seluruh negara, enam daripada sungai tersebut dari negeri ini dan mungkin program ini mampu mengatasi masalah tersebut dengan penyertaan secara langsung golongan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan Program Community In River (Coir) Peringkat Negeri Johor di Taman Rekreasi Sungai Kapeh, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, Ir Che Mohd Dahan Che Mohd Jusof.

Menurutnya, program ini juga boleh dijadikan sebagai kayu pengukur atau penanda aras tahap kesukarelawan yang terdapat di kalangan belia di negeri ini dengan penyertaan daripada Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) dan Majlis Belia Daerah (MBD).

“Saya percaya golongan belia juga mempunyai hasrat dan cita-cita untuk menjadikan Johor sebagai negeri yang kuat dan terbaik di kalangan negeri-negeri lain dan ini memerlukan kesanggupan untuk turut serta dan mengambil tanggungjawab.

“Saya tidak meminta golongan belia ini membina bangunan pencakar langit dan jalan raya, tetapi saya cabar mereka untuk menjaga sungai-sungai yang ada dan kita akan bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Menurutnya, ini juga merupakan pengikitrafan kerajaan negeri kepada golongan belia yang tidak seharusnya disia-siakan dan yakin cabaran tersebut akan disambut baik oleh golongan belia di negeri ini.

Katanya, dalam keadaan sekarang, beliau mengakui ramai golongan muda dan belia mencari cabaran yang lebih hebat sehinggakan persatuan-persatuan belia menghadapi cabaran untuk menarik minat mereka untuk terlibat dalam aktiviti yang diadakan.

“Kerajaan negeri meletakkan harapan yang tinggi terhadap golongan belia ini dan saya yakin dengan semangat dan kegigihan mereka, hasrat kita untuk melihat sungai-sungai yang ada ini terjaga akan tercapai,” katanya.

(Visited 225 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!