SEGAMAT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja mangsa lemas di Kampung Tengah, di sini, berakhir apabila pasukan menyelamat berjaya menemui mayat mangsa kira-kira pukul 7.40 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritensandan Raub Selamat berkata, mangsa, Mohd Fais Syafiq Hassan, 21, dijumpai kira-kira 10 meter dari lokasi bot yang dinaikinya terbalik.
“Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terapung berhampiran sebuah kedai perabot dan operasi SAR melibatkan pelbagai agensi menyelamat melebihi 36 jam juga telah berakhir dan bilik operasi juga akan ditutup hari ini.
“Keadaan mayat mangsa adalah sempurna cuma terdapat lumpur pada hidungnya sebelum dibawa ke rumah mayat Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, bapa mangsa yang turut mengikuti operasi SAR turut mengesahkan mangsa yang dijumpai itu adalah anaknya dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lintang, di sini.
Katanya, bilik operasi SAR yang beroperasi sejak 24 Januari lalu juga turut akan ditutup yang melibatkan pelbagai agensi penyelamat seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), tentera dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart).
Dalam kejadian pukul 4 petang Selasa lalu, mangsa bersama bapa saudara, sepupu dan dua rakannya yang menaiki bot dipercayai dari Kampung Tengah ke Jalan Pemuda selepas masing-masing pulang mengemas rumah akibat banjir.
Sebaik tiba di tempat kejadian, bot dinaiki mereka dilambung arus deras selepas berselisih dengan sebuah lagi bot menyebabkan bot yang dinaiki mangsa bersama empat lagi rakannya terbalik.
Bagaimanapun, dua daripada penumbang bot yang memakai jaket keselamtan terapung di dalam air manakala dua lagi berjaya menyelamatkan diri dengan dengan berpaut pada bot.
Comments