SEGAMAT – Seorang pemuda yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya maut selepas kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di Jalan Tahang Rimau, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Herman Amat berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.10 pagi semalam menyebabkan mangsa, T Vellu, 19, maut serta merta di tempat kejadian.
“Kami menerima panggilan daripada orang awam melalui talian Malaysian Emergency Response System (Mers 999) pada pukul 6.14 pagi dan seramai empat anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu sebelum mangsa disahkan maut oleh pihak perubatan akibat kecederaan dalaman,” katanya.
Sementata itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi yang mengesahkan kejadian berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas.
Menurutnya, kereta yang dipandu mangsa yang berasal dari Jalan Kuari, di sini, kemudian termasuk ke dalam longkang sebeleum melanggar tembok di hadapan kedai insurans di Jalan Tahang Rimau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya,” katanya.
Comments