SEGAMAT – Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Senggir, di sini, maut dalam kemalangan selepas kenderaan yang dipandunya terbabas selepas cuba mengelak bangkai babi hutan di Kilometer 170 Johor Bahru-Seremban di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, mangsa, Anuar Jantan, 39, yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
“Bagaimanapun, sewaktu tiba di kawasan kejadian, mangsa yang terkejut melihat bangkai babi hutan di atas jalan raya cuba untuk mengelak sebelum kenderaannya hilang kawalan dan terbabas.
“Kereta yang dipandunya juga berpusing beberapa kali sebelum merempuh pokok kelapa sawit yang terdapat di bahu jalan dan mangsa juga sempat keluar daripada keretanya untuk meminta bantuan,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor juga dipercayai sempat menghubungi beberapa kenalannya untuk memaklumkan mengenai kemalangan tersebut sebelum orang awam yang melalui jalan tersebut menghubungi ambulans.
Katanya, pasukan perubatan yang tiba di kawasan kejadian juga kemudian mendapati mangsa sudah meninggal dunia kerana kehilangan banyak darah selain beberapa kecederaan di kepala dan beberapa bahagian anggota badan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Bilik Mayat Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya pagi ini (semalam) untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tekam.
“Hasil siasatan awal mendapati, bangkai babi tersebut telah mati lebih awal dipercayai dilanggar oleh kenderaan lain sebelum mangsa yang tiba di kawasan kejadian tidak sempat untuk mengelak bangkai babi tersebut,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan beliau meminta orang ramai lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
Comments