SEGAMAT – Tindakan pantas polis daerah ini berjaya menggagalkan aktiviti merempit dan lumba haram di Kilometer 179 Johor Bahru-Seremban berhampiran Jalan Genuang, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, Ops Bersepadu tersebut yang bermula pukul 4 petang dan berakhir pukul 8 malam Ahad lalu disertai 30 pegawai dan anggota polis dari pelbagai bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
“Dalam operasi ini, kami telah melakukan pemeriksaan terhadap 65 motosikal, mengeluarkan 63 keping saman dan menyita 18 buah motosikal dan jumlah penunggang dan pembonceng yang diperiksa adalah seramai 70 orang.
“Sebelum ini kami telah menerima panggilan telefon serta aduan dari orang awam tentang aktiviti rempit terutamanya pada waktu hujung minggu dan kebiasaannya mereka akan berkumpul di pintu Gerbang Segamat di Jalan Genuang,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, pengguna jalan raya dan penduduk terutamanya mereka yang tinggal di sekitar Jalan Genuang, di sini, juga sering mengadu tidak selesa dengan bunyi bising sehingga mengganggu penduduk yang sedang tidur terutamanya pada malam minggu.
Katanya, di antara kesalahan yang dilakukan adalah menunggang tanpa lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos serta enjin dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Selepas ini kami akan bertindak lebih tegas mana-mana penunggang yang telah menunggang di atas jalan raya dengan melulu dan boleh membahayakan orang awam atau penunggang jalan raya yang lain akan dikenakan tindakan
“Kami juga telah mengepung jalan-jalan utama di kawasan tersebut bagi memastikan tiada mat rempit yang terlepas dan mat rempit yang ditahan terpaksa menolak motosikal mereka kira-kira lima kilometer ke IPD Segamat,” katanya.
Menurutnya, selepas ini pihaknya akan menjadikan operasi membanteras mat rempit sebagai rutin setiap hujung minggu dan hari-hari lain bagi memastikan aktiviti rempit di daerah ini berkurangan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar memantau kegiatan dan aktiviti anak remaja mereka agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan rempit sebelum ditahan dan diambil tindakan oleh pihak polis.
Comments