SEGAMAT – Masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan di Parlimen Sekijang seperti di Felda Redong, Felda Pemanis dan Felda Kemelah terutamanya di musim-musim perayaan adalah disebabkan penggunaan luar jangka oleh pengguna.
Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, sebenarnya isu kekurangan air ini kebiasannya menjelang hari cuti panjang apabila ramai warga kota pulang ke kawasan-kawasan kampung dan Felda.
“Oleh kerana penggunaan air yang cukup tinggi, sudah pasti terdapat banyak tempat mengalamai gangguan bekalan air dan ada beberapa kawasan terutama ditempat yang agak tinggi, air langsung tidak dapat dipam kerana tekanan yang agak rendah.
“Isu ini telah lama dibincangkan termasuk di dalam Mesyuarat Tindakan Daerah (MTD) bagi menangani permasalahan yang berlaku saban tahun dan pada hari biasa, isu ini tidak timbul melainkan berlakunya paip pecah,” katanya kepada wartawan.
Menurutnya, setiap kali menjelang musim perayaan, beliau telah meminta Syarikat Air Johor Holding (SAJH) supaya dapat memantau dan melakukan pemeriksaan berkala di kawasan bertekanan rendah.
Katanya, seminggu sebelum hari raya Aidilfitri juga, SAJH dan kerajaan negeri telah mula berkempen mengenai usaha menyimpan air dan menadah air secara berperingkat terutama dikawasan tinggi dan selalu alami permasalahan berkaitan tekanan air yg rendah
“Bagaimanapun, masih ada beberapa rumah yang terjejas dan SAJH juga telah memaklumkan kepada saya bahawa tangki-tangki statik telah dihantar secara berkala untuk menangani permasalahan ini.
“SAJH juga perlu menjalankan kajian berhubung kadar penggunaan air semasa musim perayaan bagi memastikan bekalan air di semua tempat mencukupi setiap kali musim perayaan,” katanya.
Katanya, SAJH juga perlu memikirkan cara untuk mengatasi masalah ini seperti memasang injap tekanan automatik di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sering mengalami putus bekalan air setiap kali musim cuti Hari Raya Aidilfitri.
Pada masa sama, beliau turut meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya melihat kawasan-kawasan yang sesuai untuk dibina pencawang serta stesen-stesen janakuasa baharu untuk menampung keperluan tenaga elektrik yang semakin meningkat.
Comments